Mon07162018

LAST_UPDATESun, 15 Jul 2018 9pm

[VIDEO] KJ, Syed Saddiq “Bergabung” Kecam Insiden Penyokong Indonesia Serang Pemain M’sia

Bekas Menteri dan Menteri Belia dan Sukan yang baharu masing-masing menyuarakan rasa tidak puas hati dan kecaman terhadap insiden keganasan yang dilakukan oleh penyokong Indonesia susulan kekalahan pasukan tuan rumah kepada skuad bawah 19 tahun negara (B-19) di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, Indonesia, malam tadi.

Khairy Jamaluddin menyifatkan insiden tersebut sebagai amat memalukan.

“Namun rakyat Malaysia amat bersabar dan harap tindakan diambil oleh pihak berkenaan. Harap tiada provokasi semasa Sukan Asia nanti,” demikian menurut Khairy menerusi catatan di Twitter, hari ini.

Sementera, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengatakan ia sesuatu yang amat menyedihkan kerana kejadian seumpama itu masih berlaku dalam perlawanan bola sepak.

“Amat menyedihkan. Pihak mereka dah berjanji akan perketatkan kawalan keselamatan untuk perlawanan Sabtu ini.

“Saya akan ke Indonesia malam ni dan akan pastikan sebaik mungkin bahawa perkara ini tidak akan berulang, khususnya bagi Sukan Asia nanti,” kata Ahli Parlimen Muar itu, memberi respons kepada ‘tweet’ Khairy.

Media melaporkan lebih 26,000 penyokong Indonesia membanjiri stadium untuk menyaksikan pertembungan dua pasukan musuh ketat itu, namun ternyata kekalahan skuad Garuda Muda di tangan Malaysia menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas terikat 1-1 pada aksi sebenar sukar diterima.

Berita Harian melaporkan jurulatih negara, Bojan Hodak mendakwa, pemain dan pegawai pasukan berdepan detik mencemaskan apabila mereka dibaling dengan botol minuman dan batu selepas tamat perlawanan sehingga memaksa mereka berlari masuk ke bilik persalinan untuk menyelamatkan diri.

Rakaman video berdurasi dua minit lebih yang dimuat naik di laman Facebook INFO FANS Vs VIDEO LUCU menyaksikan penyokong Indonesia bertindak ganas dengan membaling objek ke kawasan padang dan melemparkan kata-kata kesat terhadap pemain negara.

Akibatnya, pihak berkuasa Indonesia terpaksa membentuk bumbung penghalang daripada perisai polis bagi membolehkan pemain dan jurulatih negara berlari memasuki bilik persalinan.

Kejayaan menundukkan Indonesia membolehkan anak buah Hodak menempah pertemuan final dengan Myanmar pada Sabtu ini.

Malaysian Digest menggesa pihak berwajib dan Menteri Belia dan Sukan untuk memastikan keselamatan pemain negara terjamin pada perlawanan akhir Sabtu ini, dan mencari penyelesaian terhadap budaya hooligan dalam kalangan penyokong bola sepak.

- mD