Mon07162018

LAST_UPDATESun, 15 Jul 2018 9pm

Restoran Beriani Terkenal Diarah TutupKanak-Kanak Putus Tangan Tersepit Rim Motosikal

MARANG - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun putus tangan kiri sehingga hampir paras bahu selepas tersepit pada rim motosikal ditunggang sepupunya, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam dekat sebuah kedai makan di Binjai Bongkok itu, mangsa, Nur Zulaikha Khumaira Zulkifli membonceng motosikal ditunggang sepupunya, Nooraina Hananie, 18.

Motosikal turut dibonceng adik mangsa, Muhamad Akil, 2, itu dalam perjalanan ke Asrama Anak Yatim Darul Falah bergerak perlahan secara tiba-tiba menyebabkan Nooraina memberhentikannya.

Motosikal itu bergerak perlahan selepas bahagian tangan jaket dipakai mangsa yang berjurai masuk ke bahagian rim lalu menarik tangan kirinya itu sehingga menyebabkan tangan mangsa putus.

Nooraina berkata, dia langsung tidak menyedari mangsa terjatuh di atas jalan selepas ditarik masuk ke bahagian rim tambahan Muhamad Akil yang membonceng di bahagian tengah masih erat memeluknya.

Cemas dengan keadaan itu, Nooraina menjerit meminta pertolongan sebelum orang awam yang berada di kedai makan berhampiran datang membantu sepupunya itu yang berada di atas jalan tanpa bersuara.

Nooraina berkata, dia juga hanya mengetahui tangan Nur Zulaikha putus akibat tersepit pada rim motosikal apabila orang awam membantu memintanya turun dari motosikal untuk mengambil tangan tersebut.

"Saya diminta turun dari motosikal sebab nak ambil tangan (sepupunya) itu. Saya rasa nak rebah dah masa itu tapi gagahkan semangat untuk telefon mak dan mak (mangsa) terus datang," katanya.

Ibu mangsa tinggal di kampung berdekatan bergegas ke tempat kejadian hanya membayangkan anaknya itu sekadar jatuh dari motosikal dengan mengalami kecederaan ringan namun sebaliknya.

Sebaik tiba di tempat kejadian, ibu mangsa, Rohidayu [email protected], 29, segera meminta orang awam membantu menyelamatkan anaknya dan kemudiannya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bukit Payong.

Mangsa yang parah itu seterusnya diserahkan kepada pihak ambulans dan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut namun tangan kirinya tidak dapat diselamatkan.

Dalam pada itu, Rohidayu turut meminta orang ramai menghentikan penyebaran gambar tangan anaknya yang putus di media sosial dan akan mengambil tindakan undang undang sekiranya tidak dihentikan.

-Sinar Harian