Mon07232018

LAST_UPDATEMon, 23 Jul 2018 8pm

Lagi Kes Rogol Penumpang Grab

MELAKA: Polis hari ini mengesahkan pihaknya menerima la­poran seorang penumpang wanita dirogol oleh pemandu Grab ketika menggunakan perkhidmatan tersebut, awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ah­mad (gambar) berkata, mangsa mendakwa dirogol suspek berumur 23 tahun di dalam sebuah kereta jenis Perodua Axia.

Menurutnya, mangsa yang berumur 30 tahun dan telah berumah tangga itu menggunakan perkhidmatan Grab untuk pulang ke rumahnya di Kesidang dari Me­laka Sentral di sini, kira-kira pada pukul 9.50 malam.

“Semasa dalam per­­jalanan, mangsa mendakwa tertidur dalam kenderaan itu dan kemudian dirogol pemandu Grab tersebut di dalam kenderaan sama sebelum memaklumkan kepada suaminya mengenai kejadian.

“Pemandu itu bagaimanapun tidak melarikan diri sebaliknya menghantar mangsa pulang ke rumahnya selepas merogol mangsa,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Jelas Afzanizar, sebaik tiba di rumah mangsa, pemandu Grab itu diserang oleh suami mangsa berumur 31 tahun dan berlaku pergelutan.

“Suami mangsa yang berang dengan kejadian itu menyerang pemandu Grab tersebut menggunakan batang besi sehingga menyebabkan pemuda itu cedera di tangan kanan dan belakang kepala.

“Kedua-dua lelaki tersebut telah ditahan dan ujian air ken­cing terhadap suami mangsa mendapati dia positif dadah serta mempunyai tiga rekod jenayah membabitkan kesalahan narkotik,” tambahnya.

Katanya lagi, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kes tersebut di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

- Utusan Online