Mon07232018

LAST_UPDATEMon, 23 Jul 2018 8pm

RM500,000 Gaji Tertunggak, 50 Kes Sangkut

Foto: Stadium BolaFoto: Stadium Bola

KUALA LUMPUR: Sejumlah lebih setengah juta ringgit gaji pemain belum dilunaskan membabitkan tujuh pasukan Liga Malaysia dengan lebih 50 kes masih 'sangkut' di Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ia bukan sahaja membabitkan tunggakan gaji bagi tahun 2018 malah beberapa kes tahun-tahun sebelumnya juga gagal diatasi atas beberapa faktor termasuk sikap acuh tidak acuh persatuan.

Perkara ini didedahkan oleh Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Rezal Zambery Yahya yang ternyata amat kecewa dengan situasi itu.

"Isu ini serius kerana ia membabitkan periuk nasi pemain. Malah, dalam era profesional, masalah seumpama itu sepatutnya sudah tidak berlaku dalam bola sepak kita.

"Untuk tahun ini sahaja, walaupun FAM sudah menguatkuasakan beberapa peraturan ke atas pasukan yang bertanding, terdapat 35 aduan kes tunggakan gaji.

"Keseluruhannya, masih ada lebih 50 kes yang belum diselesaikan Jawatankuasa Status FAM termasuk kes tahun-tahun sebelumnya yang bernilai kira-kira RM500,000," dedah Rezal.

Menurut Rezal, sebagai persatuan yang mewakili pemain, PFAM berusaha sedaya upaya membantu pemain mendapatkan hak masing-masing namun kuasa mereka terbatas sebagai 'orang tengah' antara kedua-dua pihak sahaja.

Sebaliknya, kuasa menentukan tindakan terhadap sesuatu kes terletak sepenuhnya kepada FAM termasuk dalam memastikan keputusan itu dipatuhi oleh pihak yang dipertanggungjawabkan.

"Namun terdapat kes, selepas keputusan dibuat oleh FAM, masih ada persatuan yang culas untuk melangsaikan tunggakan gaji dengan memberi pelbagai alasan. "Dalam isu ini, saya sangat berharap FAM akan lebih bertegas dengan mengenakan hukuman lebih berat ke atas persatuan berkenaan bagi mengelak persatuan lain turut mengambil kesempatan," katanya.

Semalam, Sukan NSTP turut melaporkan Rezal berharap Datuk Hamidin Mohd Amin yang bakal disahkan sebagai presiden baharu FAM dalam kongres yang akan berlangsung esok agar dapat memberi perhatian serius ke atas isu ini.

- BH Online