Mon07232018

LAST_UPDATEMon, 23 Jul 2018 8pm

Hidang Babi: Penganjur Kata Wartawan (Islam & Hindu) Tak Beri “Jawapan Kehadiran”, Staf Tak Kenal Wartawan

Foto: Utusan OnlineFoto: Utusan Online

Penganjur Anugerah Pencapaian Kecemerlangan Agro Malaysia di Sekolah Pay Fong, Melaka, mengatakan hidangan babi disediakan di meja tetamu selepas tidak menerima “maklum balas” berkaitan kehadiran wartawan beragama Islam.

Memetik Malaysiakini, Setiausaha Persatuan Perlindungan dan Pembangunan Pertanian Malaysia Chai Siong Siow berkata pihaknya telah menghantar jemputan media namun tidak menerima jawapan.

“Maklum balas hanya diterima daripada media Cina seperti Nanyang, China Press dan Shin Chew Daily.

“Jadi, kami hanya sediakan meja untuk merekalah,” katanya memetik laporan portal tersebut, malam tadi.

Mengikut kebiasaan, penganjur akan menghantar jemputan media bagi menjemput pengamal media membuat liputan bagi satu-satu majlis, dan dalam beberapa situasi pengamal media akan diminta untuk mengesahkan kehadiran mereka.

Namun, penganjur sepatutnya mempunyai meja pendaftaran media sebelum majlis bermula, dan tiada alasan untuk pihak penganjur tidak sedar mengenai kehadiran wartawan beragama Islam dan Hindu pada majlis itu.

Ini kerana, Utusan Malaysia semalam melaporkan wartawan beragama Islam dan Hindu kecewa dengan sikap tidak sensitif penganjur yang gagal mengelolakan majlis itu dengan baik dan menghidangkan menu babi tanpa memaklumkan perkara berkenaan.

Lebih teruk, wakil pihak menganjur langsung tidak mendekati wartawan untuk memaklumkan mengenai jenis hidangan sepanjang majlis itu.

Sementara Harian Metro melaporkan wartawan dari Utusan Malaysia, Fadzly Izab, 33, berkata dia sangat terkejut, malah menyifatkan penganjur tidak beradab apabila menghidangkan menu khinzir di mejanya ketika sedang membuat liputan, yang dihadiri tetamu pelbagai lapisan agama dan bangsa.

“Saya sudah syak dari awal hidangan menu pada majlis itu tidak halal sehingga pelayan menghidangkan menu daging khinzir di atas meja wakil media.

“Jadi, ini bermakna semua hidangan yang dihidangkan sudah pasti diyakini tidak halal kerana disediakan oleh tukang masak dan dapur sama.

“Perkara ini sangat sensitif dan boleh mengundang kemarahan individu beragama Islam selain penganut agama lain,” katanya.

Wartawan beragama Hindu dari Tamil Nesan Daily, A Kaviarasan juga menyuarakan rasa kurang senang dengan tindakan keterlaluan pihak penganjur menghidangkan menu berkenaan.

“Agama Hindu tidak membenarkan penganutnya makan khinzir. Saya kecewa kerana mereka langsung tidak sensitif mengenai perkara ini.

“Tetamu yang hadir bukannya dari satu bangsa saja, mereka (penganjur) perlu peka dengan semua perkara ini,” katanya, memetik Harian Metro.

Dilaporkan, majlis itu dihadiri Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin; wakil rakyat dan beberapa tetamu kehormat.

Chai menambah pihaknya tidak berniat untuk berbuat demikian dan mengakui berlaku salah faham pada majlis itu.

Jelasnya, lima meja halal daripada keseluruhan 50 meja dalam acara itu turut disediakan bagi wartawan berkaitan dan hidangan halal itu dakwanya disediakan oleh jurusaji halal.

Beliau berkata, wartawan berkaitan boleh berpindah meja ke bahagian makanan halal.

“Muslim datang sepatutnya duduk di depan yang terhidang, tak ada masalah,” katanya.

Antara tetamu yang hadir pada majlis itu/Foto: FMTAntara tetamu yang hadir pada majlis itu/Foto: FMT

Chai seperti dilapor Free Malaysia Today (FMT) pula berkata, “5 meja makanan halal, 5 lagi meja makanan vegetarian dan selebihnya 50 meja menghidangkan makanan tidak halal kerana 90% hadirin ialah orang bukan Islam serta pelabur dari luar negara.”

“Kami mohon maaf. Kami sediakan 5 meja lain (yang menghidangkan makanan halal), termasuk meja tetamu VIP, 4 meja yang lain adalah terbuka untuk tetamu beragama Islam.

“Ada juga wartawan yang duduk di meja berkenaan, namun masalahnya kru saya tidak kenal siapakah wartawan-wartawan yang hadir, jika tidak mereka akan bawa ke meja halal,” katanya.

Tetapi persoalan, pihak penganjur sudah sedia maklum bahawa mereka telah menghantar jemputan kepada tetamu yang terdiri daripada pelbagai bangsa, jadi penyediaan menu hidangan seharuslah lebih sensitif dan tidak menimbulkan keraguan kepada para tetamu berkaitan.

- mD