Mon07232018

LAST_UPDATEMon, 23 Jul 2018 8pm

Kerajaan Negeri Terus Perkasa, Pelihara Sekolah Tahfiz

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri tidak pernah bercadang untuk menutup mahupun mengetepikan institusi agama, khususnya sekolah tahfiz.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, sebaliknya kerajaan akan terus memelihara institusi itu selain melakukan penambahbaikan.

Beliau berkata, kerajaan negeri berpendapat isu berkaitan sekolah tahfiz ini tidak perlu dipolitikkan.

"Institusi agama ini telah sebati dengan masyarakat Johor, apatah lagi ia diilhamkan pada zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar lagi.

"Peranan institusi agama ini penting kerana dapat membentuk asas keagamaan kukuh dalam jati diri masyarakatnya," katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.

Menurut Osman, kerajaan negeri akan memastikan pembangunan jati diri dan sahsiah rakyatnya selari dengan kemajuan ekonomi dan infrastruktur.

"Saya harap rakyat tidak termakan dengan persepsi negatif yang cuba disebarkan pihak tidak bertanggungjawab seolah-olah kerajaan negeri tidak mengambil berat institusi keagamaan ini," tegasnya.

- UTUSAN ONLINE