Mon07232018

LAST_UPDATEMon, 23 Jul 2018 8pm

Zakir Naik : Kerajaan Akan Bertindak Sewajarnya Dan Junjung Prinsip "Rule Of Law" - Gobind

Zakir NaikZakir Naik

SHAH ALAM -- Kerajaan akan bertindak sewajarnya dan sentiasa “menjunjung kedaulatan undang-undang dalam apa jua kes dan bukan hanya dalam kes melibatkan pendakwah kontroversial Dr Zakir Naik, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

“Kita kena follow rule of law. Setahu kerajaan, India menyatakan bahawa mereka mempunyai kes terhadap pendakwah itu.

“Jadi, saya fikir apa yang perlu dilakukan ialah apabila kes itu dikemukakan, keputusan akan dibuat sama ada untuk menghantarnya pulang atau tidak,” kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan Projek Tambahan Kapasiti Pusat Bungkusan Bersepadu (IPC) di sini hari ini.

Gobind berkata perkara itu telah dibincangkan dan ditangani dalam mesyuarat Kabinet semalam.

Dr Zakir, yang mempunyai taraf Pemastautin Tetap Malaysia, dilaporkan dikehendaki oleh kerajaan India kerana dakwaan mempromosikan keganasan dan pengubahan wang haram.

Dr Zakir menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana membenarkan beliau berada di negara ini dan mengkaji kesnya dari “perspektif yang tidak berat sebelah”.

Beliau berkata keputusan itu mengukuhkan keyakinannya terhadap sistem keadilan dan keharmonian kaum di Malaysia sambil menambah ini adalah bukti kepada kejayaan amalan kepelbagaian kaum di negara ini.

Dr Mahathir dilaporkan berkata Malaysia tidak akan menghantar pulang Dr Zakir "selagi beliau tidak menimbulkan masalah di negara ini.

-- BERNAMA