Mon07162018

LAST_UPDATESun, 15 Jul 2018 9pm

Perbincangan Menyeluruh Semak Cukai Pelancongan

Mohamaddin KetapiMohamaddin Ketapi

KUALA LUMPUR -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan mengadakan perbincangan menyeluruh bersama Kementerian Kewangan serta pemain industri bagi membincangkan pelaksanaan cukai pelancongan yang dikuatkuasakan sejak September 2017.

Menterinya Datuk Mohammadin Ketapi berkata perbincangan itu perlu bagi meneliti sama ada cukai terbabit akan memberi kesan buruk kepada negara sekiranya dimansuhkan sepenuhnya.

“Saya tidak kata kita akan memansuhkannya tetapi kita akan akan adakan perbincangan menyeluruh mengenainya yang saya tidak boleh dedahkan sekarang. Kita akan mengkajinya semula bagi melihat hasilnya kepada negara " katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama warga kementerian, jabatan dan penggiat industri seni negara.

Turut hadir timbalannya Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Cukai Pelancongan yang berkuat kuasa pada 1 Sept 2017 itu mengenakan kadar rata RM10 untuk satu malam ke atas pelancong asing yang tinggal di premis penginapan termasuk hotel, rumah tumpangan, rumah rehat dan rumah penginapan.

Dalam pada itu mengenai logo Tahun Melawat Malaysia 2020, Mohammadin berkata satu pertandingan terbuka kepada semua rakyat Malaysia akan diadakan bagi mereka (untuk menambah baik, bukan ganti) logo tersebut.

"Logo sedia ada cantik namun memerlukan sentuhan penambahbaikan. Kita mengalu-alukan idea dan kepakaran daripada orang ramai bagi nilai tambah kepada logo. Kaedah penyertaan akan dihebahkan kepada semua selepas mesyuarat jawatankuasa diadakan," katanya.

-- BERNAMA