Mon07232018

LAST_UPDATEMon, 23 Jul 2018 8pm

UMNO Selangor Serah Empat Nama Calon PRK Sg Kandis

Tan Sri Noh OmarTan Sri Noh Omar

TANJONG KARANG -- UMNO Selangor menyerahkan kepada presiden parti senarai empat nama calon yang berpotensi untuk dipertaruhkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos depan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar berkata empat nama itu terdiri daripada pemimpin tempatan lelaki dan wanita.

“Yang kami hantar senarai nama pimpinan UMNO, namun ini bukan muktamad. Saya semalam berbincang dengan Presiden parti (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) mengenai senarai nama calon cadangan kami.

“Namun, kalau pucuk pimpinan mungkin melihat kenapa tidak cuba calon bukan daripada pimpinan UMNO kami kena terima, kami serahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan muktamad berkenaan calon,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan kepada 125 bakal haji di Parlimen Tanjong Karang di sini hari ini.

Noh berkata UMNO Selangor juga akan memberi sokongan penuh sekiranya pucuk pimpinan parti memutuskan untuk meletakkan calon luar pada PRK itu nanti.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong susulan kematian penyandang kerusi berkenaan Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR, akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Ogos sebagai hari pengundian manakala hari penamaan calon pada 21 Julai ini.

Mengenai cadangan UMNO Selangor untuk menggunakan lambang parti pada PRK tersebut, Noh berkata pihaknya menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan berhubung perkara itu.

Semalam, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan memberitahu Bernama bahawa UMNO Selangor bersetuju untuk meletakkan calon bertanding pada PRK tersebut dengan menggunakan lambang parti itu sendiri.

Sementara itu, Noh sekali lagi menyatakan pendiriannya untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor bagi memberi peluang kepada muka baharu.

“Meskipun ada yang meminta saya kekal tetapi saya tetap bertegas dengan keputusan saya kerana saya telah gagal memimpin BN Selangor pada pilihan raya umum baru-baru ini.

“Saya sudah buat yang terbaik, mungkin boleh beri peluang kepada muka baharu. Biarlah rakyat nampak ada perubahan di Selangor. Saya serah sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti untuk melantik pengerusi yang baharu,” katanya yang menerajui UMNO Selangor sejak 2013.

-- BERNAMA