Mon07232018

LAST_UPDATEMon, 23 Jul 2018 8pm

Kedudukan Portfolio Koperasi Belum Diputuskan

PUTRAJAYA - Kedudukan portfolio koperasi masih lagi belum diputuskan sama ada ia di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) atau tidak kerana masih dalam peringkat penyusunan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, buat masa ini, kementerian itu menjalankan tugas mengikut susunan portfolio sedia ada.

Katanya, selain KPDNHEP, beberapa kementerian lain kini masih dalam peringkat penyusunan semula melibatkan beberapa portfolio dan fungsi kementerian yang membabitkan agensi serta jabatan di bawahnya.

“Bermaksud semua kementerian yang bergerak sekarang, ada kementerian yang belum dimuktamadkan portfolio, jabatan dan fungsinya, antaranya kementerian ini terutama yang membabitkan portfolio koperasi. Ianya masih disusun oleh Pejabat Perdana Menteri.

“Semalam saya temui Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan beliau maklumkan secara khusus, dan perkara tentang koperasi masih lagi dalam peringkat penyusunan. Cuma kami berjalan mengikut sususan sedia ada sekarang ini,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Edisi Julai 2018, di sini, hari ini.

Sebelum ini, KPDNHEP dikenali sebagai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) ketika pentadbiran BN, dan kini ditukar selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan selepas PRU14 lalu.

Kerajaan Harapan kini mempunyai 26 menteri dan baki tiga lagi menteri dijangka akan dilantik dalam Kabinet baharu kerajaan, menjadikan keseluruhan 29 menteri, berbanding 35 ketika zaman BN.

-Sinar Harian