Mon07162018

LAST_UPDATESun, 15 Jul 2018 9pm

Kapchai C70 'Papa Jahat' 600cc Hadiah Pengunjung Bertuah Art Of Speed 2018

Art Of Speed (AOS) kembali lagi untuk penganjurannya kali ke-7 pada tahun ini mengumpulkan penggiat dan peminat seni automotif 'custom' tanah air.

Pameran yang disifatkan Pengasas AOS, Asep Ahmad Iskandar sebagai "paling terbaik" ini akan memunculkan buat pertama kalinya Pengurus Reka Bentuk Global Hot Wheels, Dmitriy Shakhmatov .

Dmitriy akan memperkenalkan reka bentuk "Car Culture 2019" dengan kerjasama Porche RWB sempena ulang tahun Hot Wheels ke-50.

Sepertimana pada tahun-tahun penganjurannya sebelum ini, AOS akan menampilkan pelbagai rekaan gila-gila hasil ciptaan anak tempatan menghasilkan jentera bukan sahaja hebat tetap luar biasa dan tidak masuk akal.

Tahun lepas, AOS menawarkan motorsikal RXZ Twin Boss sebagai hadiah cabutan bertuah kepada pengunjung.

Uniknya motorsikal berkenaan adalah ianya menggunakan dua enjin Yamaha RX-Z yang merupakan antara motorsikal legenda di Malaysia, dan dimuatkan pada satu kerangka motorsikal.

Tahun ini, AOS menawarkan rekaan lebih gila iaitu sebuah motosikal kapchai Honda C70 yang diberi nadi sangat berkuasa.

Kebiasaannya Honda C70 hanya mendapat sentuhan kosmetik dan diubah menjadi streetcub.

Namun, kali ini AOS memberikan enjin 600cc daripada model Honda XR600R satu silinder, empat lejang.

Ya, C70 enjin 600cc.

Honda C70 rekaan FNG Works dari Ipoh, Perak ini diberi gelaran 'Papa Jahat'.

Menurut laman instagramnya, 'masterpiece' ini masih dalam proses pembikinan.

Katanya, model ini akan mengekalkan reka bentuk C70 dan diberikan wajah streetcub dan diberikan ciri-ciri keselamatan dan aksesori yang dinaiktaraf.

Art Of Speed akan membuka tirai selama dua hari, pada 28 dan 29 Julai ini bertempat di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

Pintu pameran akan dibuka pada jam 10 pagi hingga 7 malam. Tiket dijual pada harga RM15 dan RM30. Kanak-kanak berusia dibawah 12 tahun masuk percuma.

- mD