Sun07222018

LAST_UPDATESat, 21 Jul 2018 9pm

Laporan: Biro Tata Negara Tak Jadi Mansuh, Import Modul Baru Dari Jepun?

Janji kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memansuhkan Biro Tata Negara (BTN) nampaknya tidak kesampaian berikutan Putrajaya dilaporkan akan meneruskan program berkenaan menggunakan sukatan diimport dari Jepun.

Malaysiakini memetik sumber The Malaysian Insight melaporkan, Putrajaya kini mahu menyusun semula biro tersebut menjadi program baru khusus untuk kakitangan kerajaan.

"Mereka mengkaji sukatan Jepun untuk meningkatkan produktiviti. BTN akan digunakan sebagai program untuk meningkatkan produktiviti perkhidmatan awam," kata sumber itu yang merupakan kakitangan awam.

Lapor Malaysiakini, agenda menghapuskan BTN disertakan didalam janji manifesto PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Janji nombor 28 manifesto itu menyatakan bahawa PH "akan membubarkan Biro Tatanegara, yang selama ini secara aktif menjadi ejen politik murahan UMNO."

Ketua Pemuda PPBM merangkap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Isnin menyatakan BTN yang mendapat kecaman pihak tertentu diatas dakwaan menyebarkan doktrin perkauman akan dimansuhkan dalam tempoh terdekat.

“Kita tidak mahu BTN, ia akan dimansuhkan,” katanya.

Malah, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad juga pernah menyuarakan perkara sama dengan menyifatkan BTN sebagai "toksik terhadap perpaduan sejati negara".

“Masanya telah tiba untuk menutup BTN,” kata Ahli Parlimen Setiawangsa itu.

The Malaysian Insight turut menembual Ketua Pengarah BTN, Tan Sri Ibrahim Saad yang mengesahkan semua aktiviti biro berkenaan sudah digantung dan tiada sebarang keputusan berkenaan masa depannya.

"Pada masa ini, semua kegiatan BTN telah digantung. Kami menunggu arahan selanjutnya dari Jabatan Perdana Menteri... Akan ada penilaian terhadap tenaga kerja dan penstrukturan semula," kata Ibrahim yang dipetik sebagai berkata.

- mD