Mon07232018

LAST_UPDATEMon, 23 Jul 2018 8pm

Bapa Wira Penyelamat Thailand Meninggal Dunia

Foto: AgensiFoto: Agensi

SYDNEY: Doktor Australia yang memantau keadaan anggota pasukan bola sepak Thailand sepanjang berada dalam gua, menerima berita kematian bapanya sebaik muncul dari kompleks yang dinaiki air itu.

Richard Harris, pegawai perubatan terkenal dunia dan juga penyelam dilaporkan ialah orang terakhir meninggalkan gua berkenaan semalam.

Dikenali sebagai 'Harry' dalam kalangan peneroka gua global, membatalkan cuti yang dirancang dan bergegas ke utara Thailand sebagai sebahagian pasukan antarabangsa yang cuba membawa keluar 12 remaja berusia 11 hingga 16 tahun dan jurulatih mereka dari gua Tham Luang.

Kehadirannya adalah atas permintaan pakar.

Media Australia melaporkan, beliau meletakkan nyawanya dalam bahaya untuk mengharungi gua dipenuhi air sepanjang empat kilometer untuk memberikan bantuan perubatan kepada kumpulan berkenaan.

Laporan Perbadanan Penyiaran Britain (ABC) menyatakan, Harry yang menentukan dalam keadaan apa mereka dibenarkan keluar, dalam operasi yang menggembirakan semalam apabila semuanya berjaya diselamatkan, 18 hari selepas terperangkap.

Namun ketika usaha menyelamat berakhir dengan kegembiraan, pakar bius dari Adelaide itu menerima berita sedih mengenai kematian bapanya.

"Dengan amat sedih, saya mengesahkan bapa Harry meninggal dunia tidak lama selepas kejayaan operasi menyelamat di Thailand.

"Saya sudah bercakap dengan Harry. Jelas, ia saat menyedihkan bagi Harry dan keluarga, ditambah dengan tuntutan fizikal dan emosi menjadi sebahagian operasi menyelamat yang sukar," kata ketua perkhidmatan klinikal di SAAS MedSTAR, Andrew Pearce.

Harris bertugas di SAAS MedSTAR.

- Agensi