Mon07162018

LAST_UPDATESun, 15 Jul 2018 9pm

MRT Jajaran SSP Siap 30 Peratus Setakat Ini

SERI KEMBANGAN -- Projek Transit Aliran Massa (MRT) Jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) mencatatkan kemajuan memberangsangkan dengan kerja-kerja pembinaan   mencapai tahap siap 30 peratus setakat awal bulan ini.

Pengarah Projek Jajaran SSP MRT Corp Datuk Amiruddin Ma’aris berkata berdasarkan kadar kemajuan semasa, projek dijangka dapat ke pembinaan fasa seterusnya mengikut jadual.

“Kita sudah mulakan kerja membina jejambat panjang di Jalan Kuala Selangor manakala kerja-kerja memasang trek di laluan utama dijangka bermula menjelang Disember 2018. 

“Berikutan kerja pembinaan berjalan lancar dan mengikut jadual di sepanjang jajaran tinggi utara, kami optimis dapat menyiapkan kerja-kerja jejambat pada masanya,” katanya kepada pemberita semasa melawat satu daripada tapak pembinaan MRT Jajaran SSP, di sini hari ini.

Beliau  berkata kos Jajaran SSP juga akan disemak semula namun enggan mengulas lanjut.

Amiruddin berkata sebanyak 48 pakej bernilai RM30 bilion merangkumi semua kerja-kerja awam, stesen dan sistem telah dianugerahkan kepada kontraktor manakala 20 pakej lagi bernilai RM2 bilion dalam proses penenderan.

Sementara itu, Pengarah Projek MMC Gamuda KVMRT Sdn Bhd Param Sivalingam berkata fasa kedua merangkumi seksyen bawah tanah dari Stesen Jalan Ipoh ke Stesen Bandar Malaysia Selatan berjalan dengan baik pada kadar 33.3 peratus siap.

Katanya dua jentera pengorek terowong (TBM) sedang beropeasi di sepanjang seksyen dari Bandar Malaysia ke Chan Sow Lin manakala enam lagi TBM dijadual dilancarkan dalam tempoh  Oktober dan November tahun ini.

“Empat TBM akan dilancarkan di Titiwangsa dengan dua bergerak ke arah Sentul dan dua lagi ke arah Stesen HKL (Hospital Kuala Lumpur).

“Sementara itu, kerja-kerja pembinan terowong di seksyen satu di jajaran tinggi selatan di  stesen Taman Universiti baru bermula pada Jun lalu,” katanya. 

Operasi fasa satu MRT Jajaran SSP dari Stesen Sungai Buloh ke Stesen Kampung Batu akan bermula pada Julai 2021 manakala keseluruhan laluan ke Stesen Putrajaya Sentral akan beroperasi bawah fasa dua pada Julai 2022.

Laluan itu akan berperanan sebagai koridor untuk kira-kira tiga juta penduduk dari Sungai Buloh ke Putrajaya serta akan turut melalui  Sri Damansara, Kepong, Batu, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak, KLCC, Tun Razak Exchange, Kuchai Lama, Seri Kembangan dan Cyberjaya.

Jajaran yang dicadangkan itu adalah sepanjang 52.2 kilometer dengan 13.5 km di bawah tanah dan melibatkan 35 stesen baharu.

-- BERNAMA