Sun07222018

LAST_UPDATESat, 21 Jul 2018 9pm

[VIDEO] Cerita Sebenar Di Sebalik Insiden Bot Pelancong “Dirompak” Bajau Laut Sabah

Kecantikan Pulau Semporna, Sabah yang menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara tercalar selepas sebuah rakaman video yang memberi persepsi negatif terhadap penduduk setempat dan pulau berkenaan, tular sejak kelmarin.

Menerusi rakaman video berdurasi 50 saat itu, bot yang dinaiki pelancong bagi melihat keindahan kawasan pulau berkenaan didakwa telah “diserang” dan “dirompak” oleh penduduk setempat, mencetuskan rasa takut orang ramai untuk berkunjung ke pusat pelancongan itu.

Video tersebut memaparkan beberapa wanita dan kanak-kanak yang dipercayai dari suku Bajau Laut bertindak memanjat bot pelancong sambil berebut-rebut mengambil makanan yang dibawa oleh penumpang bot tersebut.

Tidak mahu insiden tersebut terus disalah tafsir dan dipandang serong, seorang ejen pelancongan yang dikenali sebagai Amirah tampil menceritakan situasi sebenar yang berlaku.

Dalam satu kenyataan, Amirah berkata kejadian tersebut berlaku pada jam 10.06 pagi, 28 Jun lalu, di mana ketika itu dia membawa beberapa pelancong melawat kawasan di sekitar Pulau Tetagan.

Tegas Amirah, mereka yang bertindak mengambil makanan dalam bot bukanlah perompak atau lanun sepertimana yang didakwa oleh segelintir netizen.

“Begini ceritanya, mereka (pelancong) ada bawakan makanan kering sebab nak bahagi-bahagi dengan mereka (suku Bajau Laut) seperti maggi, keropok-keropok tetapi apa yang jadi mereka semua berebut.

“Memang begini yang akan terjadi setiap kali kita bagi mereka makanan. Bagi bagus-bagus pun tetap juga berebut,” katanya dalam kemaskini dimuat naik di laman Facebook Pakej Pulau Semporna, pada 9 Julai lalu.

Amirah menambah, sebelum kejadian tersebut dia sudah memaklumkan kepada para pelancong tentang aktiviti memberikan makanan kepada suku Bajau laut, sekiranya ada dalam kalangan mereka yang mahu berbuat demikian.

Katanya, para pelancong tersebut sedia maklum bahawa suku kaum berkenaan akan bersikap agresif ketika diberikan makanan.

“Mereka ini kalau kita tak bagi apa-apa pun okay saja, cuma kalau diberi mereka akan berebut-rebut.

“Mereka bukan perompak, penyamun atau lanun. Kalau tidak diberi makanan atau lain-lain mereka pun tidak memaksa juga,” katanya.

Melihat keadaan yang semakin tidak terkawal, Amirah menjelaskan dia bertindak melarang penduduk Bajau Laju itu supaya tidak berebut, menggunakan bahasa yang mereka faham iaitu dalam bahasa Bajau.

“Saya tegaskan ya saya ada larang mereka dalam bahasa yang mereka faham. Kalau cakap Melayu pun mana mereka faham kan. Jadi kena guna bahasa yang boleh mereka faham.

“Saya siap bagi signal supaya auntie tu (supaya) berhenti bagi mereka (makanan) sebab takut akan lebih ramai yang datang. Lepas insiden tu, kami teruskan perjalanan keliling kampung mereka,” katanya.

Amirah juga menasihatkan orang ramai supaya tidak bimbang dengan insiden tersebut kerana setakat ini tidak pernah lagi berlaku kejadian yang tidak diingini.

“Untuk maklumat tambahan, jangan risau mereka tak makan orang, tak pernah lagi ada kes ada orang mati lemas gara-gara begini, tiada lagi kes perahu karam gara-gara mereka duduk dekat bot, tak ada lagi kes tetamu jadi zombie lepas (pulang) dari pulau ini.

“Alhamdulillah semua okay dan selamat juga. Jangan risau mereka tidak makan orang,” katanya.

Bagaimanapun, ejen pelancongan itu melahirkan rasa kesal susulan penyebaran rakaman tersebut selepas ia dimuat naik tanpa pengetahuannya.

Foto: Facebook Akbarcelona KinasFoto: Facebook Akbarcelona Kinas

Sementara lagi pengguna Facebook dipercayai penduduk Sabah, Akbarcelona Kinas menyeru netizen supaya menghentikan fitnah terhadap suku Bajau Laut, menyifatkan kehidupan suku kaum berkenaan sebagai daif berbanding masyarakat lain.

Katanya, kepada mana-mana pelancong yang datang ke kawasan berkenaan, anggaplah aktiviti memberi makanan kepada anak-anak Bajau Laut sebagai satu ruang untuk berkongsi rezeki, selain dia turut mengalu-alukan orang ramai untuk datang melancong ke pulau berkenaan.

- mD