Mon07162018

LAST_UPDATESun, 15 Jul 2018 9pm

Persiapan Tabung Haji Madinah Masuki Fasa Terakhir

MADINAH -- Pasukan Petugas Tabung Haji (TH) Madinah kini dalam fasa terakhir persiapan bagi menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia di sini, yang dijadualkan tiba pada 14 Julai ini untuk mengerjakan ibadah haji bagi tahun 1439H.

Pengarah Operasi Tabung Haji Madinah Affandi Abdullah berkata bagi musim haji tahun ini, TH akan turut memperkenalkan kemudahan kaunter pendaftaran kad sim prabayar STC, sebuah daripada syarikat pengendali telekomunikasi di Arab Saudi.

"Kaunter pendafataran kad sim prabayar STC ini adalah khusus untuk jemaah haji Malaysia, di mana mereka tidak lagi perlu untuk ke kaunter STC yang berada di sekitar Madinah atau pun di Makkah di mana kaunter ini akan turut di buka di pusat perkhidmatan haji di sana.

"Kad sim STC ini akan dibekalkan secara percuma kepada para jemaah di mana meraka hanya perlu membuat pendaftaran di kaunter yang disediakan dan membayar mengikut jumlah kredit di dalam kad sim atau mengikut jumlah kredit isian semula mereka," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Untuk mendaftar kad sim ini, beliau berkata para jemaah hanya perlu membawa kad pengenalan diri haji dan tidak perlu untuk membawa pasport mereka seperti yang dilakukan sekiranya mereka mendaftar di kaunter-kaunter lain.

Sementara itu, Affandi berkata persiapan kumpulan Petugas Haji Madinah kini berada pada tahap 80 peratus dan telah bersedia untuk menyambut kedatangan kumpulan pertama jemaah haji Sabtu ini.

"Jemaah haji Malaysia akan tiba ke Madinah secara berperingkat dengan penerbangan pertama catar haji bermula pada 14 Julai 2018 dan penerbangan terakhir pada 2 Ogos, 2018.

"Kumpulan pertama jemaah dijangka tiba jam 10 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohamad bin Abdulaziz, Madinah dengan pesawat penerbangan Malaysia Airlines Bhd," katanya.

Bagi musim haji kali ini, beliau berkata TH menyediakan sembilan bangunan penginapan jemaah haji (BPJH) di Madinah yang boleh menempatkan 9,661 jemaah haji pada satu masa.

Menurutnya, BPJH jemaah haji di Madinah akan dibahagikan kepada tiga pusat perkhidmatan zon yang terletak di sekitar Masjid An-Nabawi.

"Perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan (di pusat perkhidmatan zon) adalah seperti pejabat perkhidmatan zon, yang akan menjaga kebajikan para jemaah, jadual-jadual pergerakan dan aktiviti jemaah, maklumat berkaitan ibadat, kaunter pengeluaran wang, perkhidmatan penghantaran bagasi ke tanah air, klinik, kaunseling serta kemudahan telefon i-Talk untuk menghubungi waris di tanah air yang dikendalikan oleh Telekom Malaysia Bhd," katanya.

Affandi berkata jumlah kekuatan petugas haji di Madinah pada tahun ini adalah seramai 187 orang yang akan menguruskan jemaah haji di Madinah daripada keseluruhan kira-kira 600 petugas bagi musim haji kali ini.

"Sebahagian petugas haji telah tiba lebih awal manakala baki petugas lain akan tiba secara berperingkat bersama-sama dengan jemaah haji," katanya.

-- BERNAMA