Sun07222018

LAST_UPDATESat, 21 Jul 2018 9pm

[VIDEO] Memang Wujud Pihak Halang Ceramah, Tapi Bukan Kerajaan - Ustaz Kazim

Penceramah bebas, Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias mengulangi dakwaannya bahawa wujud cubaan menghalang beliau daripada mengadakan ceramah agama, namun menegaskan halangan tersebut bukan dari parti politik ataupun kerajaan.

"Saya jelaskan di sini, tiada tindakan sekatan dari mana-mana pihak parti (politik) atau kerajaan.

"Jadi apa yang ditularkan oleh netizen di media sosial bukan kenyataan saya. Saya cuma katakan ada usaha-usaha yang cuba menyekat ceramah saya berkali-kali dibatalkan disaat akhir.

"Ada yang saya dah sampai di bilik menunggu, kemudian tak dibenarkan berceramah. Jadi bila kita tanya siapa yang berikan arahan, tiada siapa berikan jawapan," ujarnya pada sidang media di Pusat Pendidikan Al-Barakah, Manjoi, Perak, pagi tadi.

Semalam, tular di media sosial pengumuman Ustaz Kazim ingin menjual Unit Tahfiz Al Baraqah untuk menampung kos pentadbiran dua lagi unit pendidikan Pusat Pendidikan Al-Barakah milik penceramah berkenaan - Tadika Nurul Barakah dan Pengajian Pondok untuk dewasa.

Keputusan dibuat beliau berikutan tidak lagi mampu untuk menampung kos pengurusan 100 orang pelajar yang menelan belanja sehingga RM150,000 sebulan berikutan beliau dihalang mengadakan ceramah.

Pada sidang media, Ustaz Kazim menjelaskan bahawa beliau memperoleh pendapatan untuk menguruskan pusat pendidikan berkenaan hasil daripada bayaran ceramah, sumbangan orang ramai sertai jualan buku-buku ketika berlangsung ceramah.

Walaubagaimanapun, berikutan terdapat tangan ghaib yang menghalangnya daripada melakukan ceramah, Ustaz Kazim berhasrat untuk menjual Unit Tahfiz pusat pendidikan berkenaan.

"Maahad tahfiz ini adalah jiwa saya, saya sangat sayang kepada Unit Tahfiz ini. Tapi kita terpaksa membuat satu keputusan kerana saya merasakan saya tidak lagi mampu, dari sudut sakit, tidak sihat dan kekangan didalam berdakwah ini."

Tambahnya, beliau tidak meminta simpati dari mana-mana pihak atau mengharapkan derma daripada kerajaan atau individu korporat, cuma meminta agar tiada lagi pihak menghalangnya daripada berceramah.

"Bila (ceramah) berjalan seperti biasa, unit tahfiz berjalan seperti biasa."

Ustaz Kazim dalam pada itu menyatakan pengharagaan kepada Exco Agama kerajaan negeri Perak, Asmuni Awi yang menyatakan tiada sekatan dikenakan kepadanya untuk berceramah dan bersedia untuk membantu Pusat Pendidikan Al Baraqah.

"Mudah-mudahan bukan sekolah saya sahaja, bahkan sekolah tahfiz lain juga mampu meneruskan opeasi kerana kami tidak mendapat dana khusus atau peruntukan dan semua berjalan diatas usaha saya,"ujarnya.

VIDEO OLEH FACEBOOK PERAK TODAY

- mD