Sat07212018

LAST_UPDATESat, 21 Jul 2018 4pm

PH Jangan Beri Peluang Kepada Pemimpin BN - Amanah Perak

Pakatan HarapanPakatan Harapan

IPOH – Parti komponen Pakatan Harapan (PH) diingatkan supaya tidak memberi peluang dan ruang kepada pemimpin Barisan Nasional (BN) yang keluar parti untuk menyertai PH, kata Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Perak Muhammad Faeez Azahar.

Beliau berkata kemasukan dan sokongan bekas pemimpin BN kepada kerajaan PH tidak disambut positif oleh rakyat kerana dilihat mempunyai agenda dan kepentingan tertentu.

“Suasana ini berbeza dengan tindakan berani kepimpinan UMNO dan BN yang keluar parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 dan berjuang bersama pimpinan Pakatan Harapan hingga menatijahkan kemenangan yang diperoleh ketika ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas tindakan Anggota Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali yang mengumumkan keluar daripada UMNO dan BN hari ini serta menyokong PH, Muhammad Faeez berkata disyaki mempunyai agenda tertentu dan bukan atas dasar kepentingan rakyat dan negara.

“Hari ini Dr Noor Azmi mengumumkan keluar daripada UMNO dan mengisytiharkan menjadi seorang wakil rakyat Bebas dan beliau turut memberi bayangan untuk menyertai parti komponen Pakatan Harapan dalam masa terdekat.

“Pemuda Amanah Negeri Perak menerima khabar tersebut dengan penuh keraguan kerana semua sedia maklum pendirian, kenyataan dan tindakan beliau sebelum ini langsung tidak mencerminkan beliau seorang pemimpin bersama denyut nadi rakyat,” katanya.

-- BERNAMA