Thu07192018

LAST_UPDATEWed, 18 Jul 2018 11pm

PH Mula Biadab Ugut Buang Penjawat Awam Pro-BN

ANCAM… Ketika Pakatan Harapan (PH) dikutuk rakyat marhaen kerana gagal tunai janji manifesto sendiri, mereka mula bertindak balas dengan pelbagai ancaman untuk tutup kebebasan bersuara!

Terbaharu kerajaan PH menampakkan ciri-ciri pemerintahan rejim diktator apabila mengugut sejumlah 1.6 juta kakitangan kerajaan Persekutuan agar terus menyokong kepemimpinan blok politik berkenaan sepanjang masa.

Malah hari ini Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Wan Azizah Ismail sendiri terpaksa mengingatkan semua penjawat awam supaya mendokong kerajaan PH atau kemungkinanan dikenakan tindakan termasuk buang kerja.

Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO dalam kenyataan medianya berkata, ugutan biadab Presiden PH itu ternyata jauh berbeza daripada era Barisan Nasional (BN), sehingga ada petugas hentam kerajaan secara terbuka.

Namun kini keadaan sebaliknya berlaku apabila ramai kakitangan kerajaan mula pertikai kredibiliti pentadbiran PH dan tanpa selindung kembali menyokong BN termasuk menerusi media sosial sebagai tanda protes secara senyap.

Berikut kenyataan penuh unit tersebut yang dikeluarkan di ibu negara hari ini:

Nampaknya Kerajaan PH pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad mula menampakkan ciri-ciri diktator apabila menteri-menteri Kabinetnya mula mengugut penjawat awam dengan pelbagai cara, sekali gus bertentangan dengan harapan rakyat yang mahu sebuah kerajaan yang bersih.

Timbalannya, Datin Seri Wan Azizah Ismail mengingatkan semua penjawat awam di seluruh negara agar menyokong kepimpinan Pakatan Harapan atau kemungkinan dikenakan tindakan, termasuk buang kerja.

Malahan Datuk Seri Azmin Ali pula dilaporkan mengugut ketua dan pegawai agensi kerajaan yang konon disyaki melakukan salah laku agar meletakkan jawatan atau disingkir.

Ini tidak pernah berlaku pada zaman pemerintahan BN yang secara profesional mengamalkan prinsip demokrasi berpolitik dalam kalangan penjawat awam.

Hak menyokong mana-mana parti di luar BN amat dihormati, asalkan mereka bertugas mengikut aturkerja yang digariskan untuk mereka, iaitu berkhidmat kepada rakyat.

Ini bertentangan dengan taktik ugutan PH kepada penjawat awam yang seramai 1.6 juta orang agar menyokong mereka, dan bukan menjadi ahli parti-parti lain.

Inikah bentuk demokrasi dan hak individu yang dilaungkan PH selama ini? Adakah selepas ini mereka akan mensyaratkan semua pemohon jawatan awam perlu disiasat latar belakang politik sebelum diterima bekerja.

Setelah ribuan kakitangan di bawah kerajaan dibuang kerja selepas PRU14 yang lalu, adakah mereka juga akan membuang hampir separuh kakitangan awam yang menyokong atau menjadi ahli parti lain, termasuk UMNO.

Adakah kakitangan berpakaian seragam seperti polis dan tentera yang mengundi BN pada PRU14 akan dikenakan tindakan disiplin termasuk boleh dibuang kerja?

UMNO melihat perkembangan ini dengan penuh gusar. Rakyat Malaysia yang berkhidmat dengan kerajaan tidak ada pilihan selain menjadi ahli PH agar ‘dapur rumah mereka berasap’.

Bagi yang ingin menyertai sektor awam pula akan dikenakan tapisan politik sebelum diambil bekerja. Ini lebih teruk daripada sistem sosialis dan berbaur menjengkelkan.

Apakah Azmin sebagai Menteri Hal-Ehwal Ekonomi akan terus mengugut penjawat awam, khususnya di agensi milik kerajaan, agar meletak jawatan beramai-ramai walaupun hanya disyakki salah laku?

Mereka nampaknya diberikan dua pilihan – sama ada menyokong PH untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka atau meletak jawatan atas syak wasangka.

Mungkinkah ini cara halus Mahathir untuk mengecilkan perkhidmatan awam, serta menjimatkan kos kerajaan? Atau ini taktik ugutan bagi menakut-nakutkan rakyat, khasnya mereka yang mengundi BN?

Adakah dalam tempoh 5 tahun akan datang PH menumpukan kepada tindakan mencari kelemahan silam, menghukum orang dan mewujudkan ‘political barrier’ untuk kakitangan awam?

Sungguh menyedihkan. Ia sudah mula berlaku, dan rakyat patut menyedarinya dari sekarang.

Belang sebenar PH kelihatan cukup jelas sekarang. Sama-sama kita doakan agar slogan mereka untuk membela rakyat akan diterjemahkan menerusi pelaksanaan sebaliknya.

Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO, Kuala Lumpur, 23 Jun 2018