Thu07192018

LAST_UPDATEWed, 18 Jul 2018 11pm

MPJ Umum Parkir Percuma Hujung Minggu

JASIN - Penduduk di Jasin dapat menikmati kira-kira 3,000 petak letak kereta percuma setiap Sabtu, Ahad dan cuti umum bermula semalam.

Exco Perumahan Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Tey Kok Kiew berkata, langkah dilakukan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) itu bagi mengikut jejak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sekali gus kerajaan negeri menunaikan janji manifesto pada PRU14 dalam tempoh 40 hari sahaja.

“Saya yakin caj letak kereta percuma akan berikan impak positif kepada ekonomi di daerah Jasin.

“Secara tidak langsung langkah ini menggalakkan masyarakat datang berbelanja di sini setiap minggu dan penduduk setempat dapat merasai limpahan rezeki,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan itu termasuk ke atas 2,811 petak kereta yang dikendalikan MPJ atau diswastakan bertujuan mendidik dan mendisiplinkan pengguna.

-Sinar Harian