Sat07212018

LAST_UPDATESat, 21 Jul 2018 4pm

Ku Li, KJ Dan Zahid Antara Lima Calon Jawatan Presiden UMNO

KUALA LUMPUR -- Ibu Pejabat UMNO hari ini mengeluarkan senarai calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding pelbagai jawatan  pada  pemilihan parti itu Sabtu ini dan 30 Jun depan, dengan lima calon bakal merebut jawatan Presiden parti.

Mereka ialah Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin, Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, anggota UMNO Bahagian Bandar Tun Razak Mohamed Iqbal Maricair dan anggota UMNO Bahagian Iskandar Puteri Mohd Yusof [email protected]

Bagi jawatan timbalan presiden pula, ia bakal menyaksikan persaingan di antara Ketua UMNO Bahagian Rembau Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Tujuh  calon lagi akan bertanding merebut tiga jawatan naib presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, Sheikh Razali Sheikh Hamad, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Ahmad Said.

Ismail Sabri, Mohamed Khaled, Mahdzir, Tajuddin dan Johari merupakan anggota Majlis Tertinggi UMNO.

Sebelum ini, Sekratariat UMNO menerima tujuh borang pencalonan bagi jawatan presiden, tiga borang pencalonan bagi jawatan timbalan presiden dan sembilan borang bagi jawatan naib presiden. 

Dalam senarai calon yang dimuat naik dalam laman web UMNO hari ini, parti itu turut menyenaraikan 106 calon yang akan bertanding merebut 25 jawatan sebagai anggota Majlis Tertinggi termasuk beberapa penyandang dan nama besar dalam parti itu.

Antaranya ialah Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Idris Haron, Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Razali Ibrahim, Datuk Seri Mohd Johari Baharum, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, Datuk Seri Azlan Man.

Turut bertanding merebut jawatan itu ialah Datuk Seri Ismail Mohamed Said, Datuk Seri Azlan Man, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Datuk Bung Moktar Radin.

Sebanyak dua calon pula akan bertanding bagi jawatan pengerusi tetap manakala 14 calon lagi merebut jawatan timbalan pengerusi tetap.

Sementara itu, tiga calon akan bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita iaitu Tan Sri Siti Zaharah Sulaiman, Datuk Noraini Ahmad dan Datuk Azizah Mohd Dun.

Seramai empat calon pula akan bertanding jawatan Naib Ketua Wanita, 81 calon bertanding jawatan anggota jawatankuasa, selain dua bagi jawatan pengerusi tetap dan empat bagi jawatan timbalan pengerusi tetap sayap itu.

Bagi Pergerakan  Pemuda pula, seramai sembilan individu disenaraikan bertanding merebut jawatan itu termasuk Naib Ketua Pemuda Khairul Azwan Harun, anggota Majlis Tertinggi Datuk Dr Asyraf Wadji Dusuki, Ketua Pemuda Pahang Mohd Shahar Abdullah serta Ketua Bahagian  Sungai Besar yang mencetuskan kontroversi Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Sembilan calon pula bertanding untuk jawatan Naib Ketua Pemuda, 184 calon bertanding untuk anggota jawatankuasa pergerakan itu, dua calon bagi jawatan pengerusi tetap dan tiga bagi jawatan timbalan pengerusi tetap.

Jawatan Ketua Pergerakan  Puteri pula menyaksikan persaingan di antara Naib Ketua Puteri Datuk Zahida Zarik Khan dan exco Puteri Nor Hazreena Mohamad Hashim.

Seramai lima calon lain akan merebut jawatan naib ketua, 71 calon akan bertanding sebagai anggota jawatankuasa dan dua calon untuk jawatan pengerusi tetap. 

Jawatan timbalan pengerusi tetap pula dimenangi Salbiah Saari selepas menjadi calon tunggal untuk jawatan tersebut. 

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Ibu Pejabat parti telah membuat semakan terhadap calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding dalam pemilihan kali ini.

"Senarai calon-calon peringkat Pusat, yang telah disemak oleh pihak insolvensi dan mencukupi syarat-syarat yang ditetapkan untuk bertanding, boleh dimuat turun menerusi http://www.umno-online.my/calonpemilihan2018.

"Bagi senarai peringkat Bahagian boleh merujuk terus kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri atau Bahagian masing-masing. Selamat bersidang," katanya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA