Mon07232018

LAST_UPDATEMon, 23 Jul 2018 8pm

DFTZ Antara Medium Persiap Generasi Muda Sertai Dunia Pekerjaan - Najib

KUALA LUMPUR – Inisiatif seperti Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) merupakan medium untuk mempersiapkan generasi muda terhadap peluang pekerjaan yang masih  belum wujud, kata bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Najib, ini berikutan manfaat DFTZ  yang dijangka mewujudkan 60,000 pekerjaan, memudah cara perdagangan barangan bernilai US$65 bilion menjelang 2025 selain dapat melipatgandakan aspek penghantaran dan jumlah kargo​​​​ untuk Malaysia menjelang 2025.

“Ekonomi digital adalah sektor paling pesat membangun dalam ekonomi negara. Pada masa ini, ia menyumbang sebanyak 18.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan diunjur menyumbang sehingga 20 peratus menjelang 2020.

“Saya gembira apabila DFTZ yang dirangka oleh kerajaan terdahulu iaitu Barisan Nasional dan dilancarkan dalam tempoh lebih pantas dan ​​​​seiring dengan Alibaba, tidak dibatalkan kerajaan Pakatan Harapan," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya hari ini.

Alibaba Group hari ini membuka pejabatnya di Kuala Lumpur yang menandakan lembaran baru syarikat itu dalam meluaskan kerjasama strategik dengan Malaysia, menerusi pembukaan hub Platform Perdagangan Dunia Elektronik (eWTP) pertama di luar dari China.

Dalam satu kenyataan, syarikat gergasi e-dagang memetik Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebagai berkata eWTP beserta DFTZ akan menggalakkan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana untuk turut serta dalam e-dagang, sekali gus meningkatkan eksport mereka ke negara lain di Asia dan ke kawasan lain. 

-- BERNAMA