Sat07212018

LAST_UPDATESat, 21 Jul 2018 4pm

Jack Ma Kagum Pengetahuan Teknologi Dr Mahathir

PUTRAJAYA: Pengasas dan pengerusi eksekutif Alibaba Group, Jack Ma, yang mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, terkejut dengan pengetahuan Perdana Menteri mengenai teknologi.

"Saya terperanjat dengan pengetahuan beliau mengenai teknologi," kata Ma kepada BERNAMA selepas pertemuan itu, yang berlangsung di Pejabat Perdana Menteri di sini.

Menurut beliau, pada pertemuan selama sejam bermula pada kira-kira 9 pagi itu, mereka berkongsi banyak idea dan berbincang mengenai cara untuk membebaskan lebih banyak rakyat Malaysia daripada belenggu kemiskinan serta memberi bantuan kepada lebih banyak golongan muda dan perniagaan kecil.

"Pertemuan ini sungguh bermanfaat," kata Ma, yang berada di ibu negara untuk merasmikan pembukaan pejabat Alibaba di Bangsar South, Kuala Lumpur, lewat hari ini.

Ma berkunjung ke Kuala Lumpur tahun lalu untuk melancarkan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) pertama dunia.

Ia ditubuhkan bagi merangsang pertumbuhan e-dagang melalui penyediaan pentas serba canggih bagi syarikat serta perusahaan kecil dan sederhana (SME) menjalankan perniagaan dan perkhidmatan masing-masing.

-Berita Harian