Sat06232018

LAST_UPDATEFri, 22 Jun 2018 11pm

35,000 Warga Indonesia ‘Mudik Lebaran’

KLANG - Hari raya Aidilfitri sentiasa dinanti kerana kebiasaannya sudah menjadi tradisi untuk setiap keluarga sama ada mereka yang jauh di perantauan atau dekat berkumpul, sambil mengeratkan silaturrahim dan saling ziarah menziarahi.

Bukan sahaja rakyat Malaysia, warga Indonesia juga tidak ketinggalan mengambil peluang untuk pulang ke negara asal masing-masing atau dalam bahasa Indonesia ‘mudik lebaran’ untuk menyambut hari kemenangan umat Islam bersama keluarga.

Jarak beribu batu yang terpaksa ditempuh bukan alasan apatah lagi mengenang dan membayangkan dapat berjumpa ibu bapa dan sanak saudara selain menjamah juadah raya di pagi Syawal.

Tinjauan Sinar Harian mendapati Jeti Asa Niaga Harbour City di Pelabuhan Klang dibanjiri dengan warga Indonesia yang ingin pulang ke kampung halaman mereka menerusi perkhidmatan feri di jeti itu ke Jeti

Dumai dan Kampung Balai di Indonesia, sejak seminggu sebelum Aidilfitri.

Pekerja binaan, Lalan Suwarno, 45, berkata, seawal jam lima pagi lagi dia sudah menunggu untuk membeli tiket feri semata-mata mahu pulang menyambut raya bersama keluarga.

“Saya bekerja di Kuantan (Pahang) dan naik feri dari Jeti ini untuk balik ke Medan, Indonesia.

“Walaupun naik kapal terbang sampai dengan cepat, tetapi jarak dari lapangan terbang ke kampung saya jauh. Bila saya naik feri, walaupun masanya sampai lima jam, tetapi terus sampai kampung saya,” katanya

sambil meminta pihak pengendali jeti supaya urusan proses untuk menggunakan kemudahan pengangkutan itu ditambah baik pada masa akan datang.

Bekerja di negara ini sejak 1990, Lalan mengakui agak berat hati meninggalkan keluarga di Indonesia demi mencari rezeki untuk kelangsungan hidup mereka.

“Anak-anak faham kenapa kami terpaksa berjauhan dan saya akan pastikan balik ke Medan setiap enam bulan sekali.

“Saya pernah lapan tahun tidak balik beraya ketika mula-mula bekerja di Malaysia. Rasanya memang lain bila berjauhan dengan keluarga. Pada masa itu, hendak hubungi keluarga masih lagi dengan cara mengutus

surat atau gunakan telefon awam,” katanya.

Buruh kontrak yang mahu dikenali sebagai Suyono, 42, berkata, dia mengambil peluang cuti dua minggu untuk pulang beraya di Indonesia bersama isteri dan empat anak.

“Ini masanya saya meluangkan masa bersama keluarga. Biasanya setahun hanya sekali sahaja saya pulang ke Indonesia, iaitu pada hari raya.

“Sejak bekerja di Malaysia pada 1987, saya tidak pernah ketinggalan untuk membeli tiket feri pulang sambut raya bersama keluarga. Saya akan beli tiket awal supaya tidak kehabisan tiket,” katanya yang

membelanjakan RM125 untuk tiket feri dan pas masuk.

Bagi peniaga makanan, Rosniar Kamkn Suyatno, 48, dia begitu teruja menyambut perayaan kali ini kerana ia merupakan pengalaman pertamanya menaiki feri untuk pulang ke Medan, Indonesia.

Kebiasaannya, Rosniar menaiki kapal terbang, namun disebabkan faktor tambang dan barang yang banyak menyebabkan dia mencuba perkhidmatan pengangkutan feri.

“Saya pulang ke kampung bersama dua anak kembar. Tahun lepas, saya tidak berkesempatan pulang ke kampung sebab anak-anak sudah mula bersekolah.

“Kali ini, saya tidak bawa kuih raya atau juadah raya dari Malaysia ke Indonesia, tetapi berhasrat hendak bawa hidangan raya Indonesia ke sini,” katanya.

Sementara itu Pengarah Eksekutif ASA Group, Azrin Shaari menyifatkan suasana pulang beraya bagi warga Indonesia tahun ini cukup berbeza dan luar biasa berbanding tahun lalu.

“Selalunya tujuh hari sebelum raya baru mereka akan mula pulang ke kampung halaman, tetapi tahun ini dua minggu sebelum raya sudah ada yang mula bergerak pulang.

“Saya difahamkan, ada juga penumpang yang telah berkumpul sejak pukul 10 malam untuk membeli tiket, namun kaunter hanya dibuka pada pukul 5 pagi sebelum feri pertama berlepas tiga jam berikutnya.

“Dalam tempoh tujuh hari sebelum raya, seramai 35,000 warga Indonesia telah pulang ke kampung halaman dan angka tersebut sedikit meningkat berbanding tahun lalu,” katanya.

- Sinar Harian