Mon06252018

LAST_UPDATESun, 24 Jun 2018 9pm

Pulang Beraya, Jadilah Pemandu ‘Lima Bintang’

KUALA LUMPUR - Tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri dan ada pejabat yang sudah mulai lengang, tambahan cuti sekolah sudah bermula.

Ramai yang sudah mula bercuti “balik kampung”, untuk meraikan hari raya bersama yang tersayang. Kampung halaman, ayah bonda dan sanak-saudara sudah lama terbayang di mata.

Dalam keghairahan menyambut ketibaan 1 Syawal, keselamatan perlu diberi keutamaan terutamanya apabila memandu untuk mengelakkan daripad kejadian yang tidak diingini.

Menurut perangkaan Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR), lebih dua juta pengguna dijangka memulakan perjalanan balik kampung, dua hari sebelum 1 Syawal.

Meskipun Polis Diraja Malaysia melancarkan Op Selamat 13/2018 sempena Hari Raya Aidilfitri bermula 8 Jun hingga 22 Jun depan, pengguna jalan raya bertanggungjawab memastikan mereka bersedia secara mental dan fizikal untuk mengharung kesesakan jalan raya/lebuh raya yang biasanya berlaku.

Persediaan Diri

Menurut laman web JKJR, sebanyak 22, 402 jumlah kemalangan direkodkan pada tahun 2017 sepanjang Op Selamat XI sempena perayaan Aidilfitri berbanding 20, 982 pada Op Selamat IX pada 2016.

Daripada jumlah 22, 402 itu, sebanyak 239 adalah kemalangan maut manakala jumlah kematian adalah 257.

Setiausaha Agung New Car Assessment Programme for Southeast Asia (Asean NCAP) merangkap Ketua Unit Pengoperasian ASEAN NCAP, Pejabat Ketua Pengarah Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS) Dr Khairil Anwar Abu Kassim berkata setiap pengguna jalan raya perlu mempunyai kesedaran bahawa bukan mereka sahaja yang berada di atas jalan raya. 

“Semua orang ingin sampai ke kampung halaman. Untuk itu, masing-masing perlu menjadi pemandu ‘lima bintang’ dengan rasa tanggungjawab untuk memandu dengan keadaan yang paling baik bagi mengelakkan sebarang kemalangan jalan raya.

”Setiap pengguna juga harus merasakan bahawa mereka mempunyai tujuan yang sama iaitu menyambut perayaan bersama orang tersayang. Bukan mereka sahaja yang ingin sampai dengan selamat malah pengguna lain juga sama,” katanya kepada Bernama.

Suasana Berbeza

Mengulas lanjut, Khairil Anwar berkata peningkatan bilangan kenderaan di atas jalan raya ketika musim perayaan turut menyebabkan ‘pendedahan’ kepada setiap kenderaan bertambah. 

Keadaan jalan raya Yang tidak seperti hari biasa juga akan menyebabkan perubahan sikap dan ‘mood’ pengguna yang memungkinkan berlakunya perlanggaran atau kemalangan.

“Suasana jalan raya yang berbeza ketika musim perayaan memerlukan pengguna untuk membuat persediaan diri lebih-lebih lagi rehat yang secukupnya sebelum memandu jauh. Sekiranya mengantuk atau penat, ambillah masa untuk berehat di di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) dan apabila berasa yakin (tidak mengantuk) barulah meneruskan perjalanan. 

“Mematuhi peraturan jalan raya juga penting tidak kira ketika musim perayaan atau tidak, namun musim perayaan akan menjadi lebih kritikal kerana ramai pengguna di jalan raya. Perlu diingat bahawa matlamat setiap kita untuk sampai dengan selamat dan masa untuk sampai tidak sepatutnya menjadi isu,” katanya.

Beliau pada masa sama berkata setiap kenderaan perlu diselenggara pada kadar maksimum sebelum melakukan perjalanan jauh agar berada dalam keadaan baik demi tujuan keselamatan.

“Sekiranya penyelengaraan itu tidak dapat dilakukan secara keseluruhan sebagai contoh perlu menukar tayar baru tetapi bajet tidak mencukupi, pengguna perlu memahami risikonya dan memandu pada kadar kelajuan yang mampu ‘dipikul’ oleh tayar.

“Pendek kata segala risiko keselamatan itu perlu diketahui oleh pengguna. Sekiranya, kenderaan mempunyai risiko yang terlalu tinggi, adalah lebih baik pengguna mencari pilihan lain seperti meminjam kenderaan atau sebarang alternatif lain,” katanya.

- Bernama