Mon06252018

LAST_UPDATESun, 24 Jun 2018 9pm

Rumah Usang Mahligai Lima Beranak

PASIR PUTEH - Tidak pernah terfikir keluarga ini untuk menyambut hari raya Aidilfitri secara besar-besaran kerana kedaifan menjadi kekangan mengadakan persiapan lengkap.

Rozilawati Mamat, 35, dari Kampung Gong Tengah di sini, berkata, pendapatan suaminya, Raja Safari Raja Ibrahim, 37, yang tidak menentu menyebabkan mereka hanya meraikan Aidilfitri secara sederhana.

Katanya, rumah yang dibina di atas tanah keluarganya kian usang, tiada bilik dan tiada tandas.

“Bukan tak nak baiki tapi kami tak ada duit lebih, adalah duit untuk makan-makan tapi nak baiki rumah memang kami tak mampu.

“Rumah ini akan bergegar bila ribut, bumbung bocor tapi nak buat macamana, kami hanya mampu berdoa agar terlepas dari musibah,” katanya.

Menurutnya, tandas di luar rumah tidak lagi bersesuaian tetapi mereka perlu bertahan dengan situasi berkenaan sehingga ke hari ini.

Rozilawati berkata, anaknya, Raja Aulia Izzatul Nisa, setahun, Raja Aiman Hakim, 6, dan Raja Aiman Mukmin, 12, merupakan harta yang tidak ternilai.

“Apa yang penting kepada kami adalah memastikan anak-anak tidak tercicir dalam pelajaran kerana pelajaran inilah yang mampu mengubah nasib keluarga dengan izin ALLAH SWT.

“Saya berharap ada pihak yang tampil membantu kerana dia sekeluarga sudah lama tinggal di rumah usang ini,” katanya.

Dia berkata demikian selepas menerima kunjungan Kelab Pembaca Sinar Harian (guSinar) Pasir Puteh yang mengaktifkan program tahunan Ziarah Ramadan, kelmarin.

Ziarah Ramadan yang turut disertai Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah itu membabitkan beberapa keluarga asnaf di Kampung Lepan Rambai, Kampung Bunut Rendang, Kampung Gong Tengah, Felcra Teratak Batu, Kampung Gong Keding dan Kampung Gong Tapamg.

- Sinar Harian