Mon06252018

LAST_UPDATESun, 24 Jun 2018 9pm

Hanya Anwar Mampu Satukan Melayu

SUNGAI BESAR - Cadangan menamakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Presiden Umno dilihat mampu menyatu-padukan semula kaum Melayu.

Calon Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, cadangan beliau itu jelas kerana Anwar sahaja pemimpin yang mampu menyatupadukan seluruh kaum itu di negara ini.

"Ketika ini Umno memerlukan sokongan daripada seluruh akar umbi dan dari situlah, saya melihat penyatupaduan orang Melayu ini hanya mampu dilakukan oleh Anwar," katanya dalam satu kiriman video yang dihantar seorang ahlinya menerusi aplikasi WhatsApp, sebentar tadi.

Dalam video berdurasi dua minit 46 saat itu, Jamal sekali lagi tampil sama seperti rakaman video terakhir beliau, kelmarin, dengan mengenakan baju korporat Umno, tetapi kali ini bersongkok.

Menerusi video itu, Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar memberitahu, memang kita sedia maklum bahawa Anwar merupakan pemimpin yang pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri sebelum dilucutkan jawatan suatu ketika dahulu.

"Sudah sampai waktu dan ketikanya, Umno memerlukan sokongan daripada seluruh akar umbi bagi menyatukan semula orang Melayu," katanya.

Beliau menegaskan, parti itu perlu membuka ruang terhadap cadangan itu supaya Malaysia mampu bergerak sebagai sebuah negara maju dan berwawasan.

Bagaimanapun, Jamal mengakui cadangan itu adalah pandangan dan pendapat peribadi beliau semata-mata dan tiada kena-mengena dengan individu lain atau parti Umno itu sendiri. "Kalau ia mampu membawa kebaikan, apa salahnya kita fikir dan renungkanlah untuk masa depan negara kita yang tercinta ini," katanya.

Kelmarin, Jamal yang terkenal dengan gimik mencetuskan kontroversi mencadangkan nama Anwar sebagai calon Presiden Umno pada pemilihan parti itu akan datang.

Jamal dalam video sama dengan berlatar belakang gegantung pemilihan Umno 2018 yang tertera perkataan 'Saya Jamal Md Yunos Menawarkan Diri Bertanding Ketua Pemuda Umno Malaysia', turut menamakan pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan Presiden Umno.

Manakala, Naib Presiden Umno pula ialah, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin dan seorang calon lain.

Pada 25 Mei lalu, Jamal dilaporkan menghilangkan diri selepas didakwa dimasukkan ke Hospital Pakar Ampang Puteri dan kehilangannya dikatakan disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira jam 5.30 petang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebelum ini mengesahkan waran tangkap terhadap Jamal telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ampang, 1 Jun lalu.

Waran itu dikeluarkan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan iaitu melarikan diri daripada tahanan yang sah.

- Sinar Harian