Mon06252018

LAST_UPDATESun, 24 Jun 2018 9pm

Sejumlah 206 Saman Bagi Op Selamat Aidilfitri Di Shah Alam

SHAH ALAM -- Sejumlah 206 saman dikeluarkan ke atas pesalah trafik dalam Op Selamat sempena Aidilfitri 2018 di kedua-dua arah tapak Plaza Tol Sungai Rasau dekat sini di Lebuhraya Persekutuan awal pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Supt Azman Shariat berkata kesalahan yang paling banyak dilakukan adalah nombor pendaftaran kenderaan bergaya melibatkan 59 kes.

Katanya sebilangan besar saman yang dikeluarkan membabitkan kesalahan lampu brek tidak menyala melibatkan 48 kes dan 26 kesalahan tiada lesen memandu.

"Bagaimanapun, tiada sebarang waram tangkap dikeluarkan terhadap mana-mana pesalah trafik dalam Op Selamat ini,"katanya dalam kenyataan.

Op Selamat itu yang berlangsung lebih empat jam sehingga pukul 4 pagi tadi melibatkan kekuatan enam pegawai dan 34 anggota polis dengan 238 jenis kenderaan diperiksa.

Azman sebelum ini dilapor berkata pihaknya tidak akan berkompromi kepada mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang serta peraturan jalan raya terutamanya membabitkan enam kesalahan yang yang diberikan tumpuan utama.

Beliau dilapor berkata dalam Op Selamat di Selangor ini, pihaknya akan gunakan konsep 'total enforcement' atau penguatkuasaan penuh terhadap kesemua undang-undang dan peraturan jalan raya yang sedia ada.

--BERNAMA