Sat06232018

LAST_UPDATEFri, 22 Jun 2018 11pm

Skandal 1MDB: FBI Dan DOJ Setuju Kerjasama

Foto: ReutersFoto: ReutersDUA badan iaitu Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman (DOJ) bersetuju memberi kerjasama sepenuhnya kepada Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dalam menyempurnakan siasatan dalam kes berkenaan.

Menerusi pertemuan dua hala pada pagi tadi, antara fokus utama adalah siasatan terhadap 1MDB, hala tuju dan permohonan bantuan bersama bagi perkara jenayah (MLA).

Mesyuarat dipengerusikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan bekas pegawai kanan Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador itu antara lain turut membincangkan mengenai proses membawa semula aset yang dibekukan di Amerika Syarikat.

“Antara isu dibangkitkan ialah permohonan pihak FBI yang sudah menghantar surat bertarikh 13 November 2016 kepada bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, tetapi permohonan tidak mendapat maklum balas sehingga kini.

“DOJ juga mengesahkan ada membuat permohonan melalui MLA kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada 22 September 2017.

“Bagaimanapun, permohonan ini juga tidak dipenuhi dan ditangguhkan atas alasan ia akan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa di Malaysia” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, pihak DOJ dan FBI merakamkan terima kasih terhadap kerajaan baharu Malaysia, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana sudi memberikan kerjasama selepas tiada apa-apa tindakan berkaitan 1MDB ketika pentadbiran kerajaan sebelum ini.

-Harian Metro