Sat06232018

LAST_UPDATEFri, 22 Jun 2018 11pm

Tiada Lagi Keperluan Sekat Sarawak Report, Medium - SKMM

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menegaskan, tindakan untuk menyekat mana-mana laman sesawang adalah berpandukan kepada undang-undang negara.

Sebagai contoh, katanya, kandungan yang bersifat lucah, mempunyai unsur mengancam mahupun jelik akan disekat, berdasarkan kepada aduan yang diterima daripada orang ramai.

Menurut SKMM, langkah itu dibuat demi ketenteraman awam, walau bagaimanapun, sekatan yang dibuat akan diteliti semula dan jika sebab atau kriteria untuk menyekat tidak lagi terpakai sejajar dengan impak dan kesan semasa, maka sekatan tersebut akan ditarik balik.

“Dalam kes Sarawak Report dan Medium, tiada lagi keperluan untuk menyekat apabila laporan 1MDB menjadi umum.

“Dalam hal laman sesawang live.undi.info pula, aduan-aduan yang diterima daripada orang ramai antara lain mendakwa bahawa keputusan atau maklumat yang dipaparkan dalam laman berkenaan dilihat kurang tepat,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, selepas meneliti semula kandungan-kandungan yang disiarkan, sekatan ditarik balik memandangkan kriteria-kriteria yang digunakan untuk proses sekatan sebelum ini sudah tidak terpakai dalam situasi semasa.

- UTUSAN ONLINE