Sat06232018

LAST_UPDATEFri, 22 Jun 2018 11pm

Suspek Bunuh Tiga Beradik Direman Tujuh Hari

TELUK INTAN: Suspek lelaki yang menetak tiga beradik sehingga mati di Kampung Sungai Haji Muhammad di Selekoh, Bagan Datuk semalam ditahan reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Majistret Syahdatul Kamila Zakaria membenarkan pekerja penyelenggara berusia 35 tahun tersebut ditahan reman sehingga 24 Mei depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Prosiding tahanan reman terhadap suspek yang merupakan rakan sekerja bapa ketiga-tiga mangsa tersebut berlangsung kira-kira 10 minit di Mahkamah Majistret Teluk Intan di sini hari ini.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap warna jingga tiba di mahkamah pada kira-kira pukul 8.55 pagi dengan dikawal ketat anggota polis sebelum memasuki mahkamah lebih sejam kemudian.

Semalam tiga beradik iaitu dua lelaki dan seorang perempuan berusia lima hingga dua tahun maut akibat ditetak dengan parang oleh seorang lelaki yang menceroboh masuk ke dalam rumah mereka di Kampung Sungai Haji Muhammad di sini.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 2.30 petang itu menyebabkan kesemua tiga mangsa maut di tempat kejadian iaitu Mohammad Faqhqih Zahirulhaq Mohd. Fadzil, 5, dan dua adiknya, Nur Ziah Fasihah, 2, dan Muhanmad Firash Zaffril, 3.

- UTUSAN ONLINE