Sun06242018

LAST_UPDATESat, 23 Jun 2018 9pm

Pengikut Instagram Syed Saddiq Meningkat Lima Kali Ganda

KUALA LUMPUR -- Wakil rakyat bagi kerusi Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terkejut melihat jumlah pengikutnya di media sosial terutamanya  Instagram  meningkat  dengan mendadak semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) baru-baru ini.

"Bilangan 'followers' meningkat lebih 700,000 berbanding 150,000 sebelum ini…agak luar biasa sebenarnya," kata Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)  itu  kepada Bernama selepas menjadi tetamu  program Nine 11, terbitan Bernama News Channel (BNC) di sini hari ini. 

Syed Saddiq, 25, yang merupakan juara debat antarabangsa menarik minat  netizen apabila dinamakan   sebagai calon Pakatan Harapan di bawah bendera PKR pada PRU baru-baru  ini.

Kemenangannya di kerusi Parlimen Muar dengan majoriti 6,953 undi mengalahkan penyandang  Datuk  Seri Razali Ibrahim (BN-UMNO) yang memenangi kerusi itu sejak PRU 2004  dan  calon PAS Abdul Aziz Talib   adalah  satu pencapaian yang hebat.

Syed Saddiq berkata dengan peningkatan pengikutnya terutama di media sosial, ini  bermakna beliau kini memikul  tanggungjawab untuk memastikan maklumat yang dimuat naik berbentuk   positif dan memanfaatkan pengikutnya.

Lulusan Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pernah menolak tawaran biasiswa untuk  melanjutkan pelajaran ke Oxford University, England kerana politik, Syed Saddiq berkata beliau mahu memainkan peranan penting di Dewan Rakyat bagi membangkitkan isu-isu berkaitan pendidikan dan masa depan belia di negara ini.

Syed Saddiq berkata penerimaan rakyat terhadap pemimpin-pemimpin muda  menunjukkan   mereka inginkan  perubahan dan mahu  isu-isu berkaitan golongan muda seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, kos sara hidup dan tiada rumah mampu milik diberi penekanan di Parlimen.

Selain Syed Saddiq yang ​​ berasal dari Johor Bahru dan bekas pelajar  Maktab Tentera  Diraja Malaysia,  beberapa lagi calon muda Pakatan Harapan menang pada PRU14 itu antaranya bagi kerusi Parlimen Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd Nasir, 32. 

Seorang calon Bebas P. Prabakaran mencatat rekod sebagai anggota Dewan Rakyat  termuda di negara ini pada usia 22 tahun apabila memenangi kerusi Parlimen Batu. Anak muda ini kemudian mengumumkan menyertai PKR. 

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berjanji akan memastikan anak muda di negara ini mempunyai ruang bersuara dalam dunia politik Malaysia dalam usaha membina semula negara ini.

"Ini termasuklah suara anak muda parti Barisan Nasional (BN) bagi memperlihatkan budaya politik yang sihat, proaktif dan kompetitif,” kata anak guru Bahasa Inggeris itu.

Beliau juga berharap BN dapat memainkan peranan sebagai pembangkang yang baik, khususnya dalam memastikan unsur semak dan imbang dalam aspek pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Syed Saddiq mula aktif dalam politik apabila beliau dan 24 lagi belia yang menggelarkan  diri mereka “Change Led by the Young Generation (Challenger)”  mengeluarkan kenyataan menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan skandal 1MDB pada  2016 dan seterusnya menyertai PPBM serta menjadi jurucakap parti.

-- BERNAMA