Fri05252018

LAST_UPDATEFri, 25 May 2018 9am

PM, TPM Masing-Masing Pegang Portfolio Menteri Pelajaran, Wanita

Foto: ReutersFoto: Reuters

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail masing-masing akan mengambil-alih portfolio tambahan di dua kementerian dalam Kabinet baharu.

Dr Mahathir berkata, beliau akan memegang jawatan Menteri Pelajaran, sementara Wan Azizah diberi tanggungajwab memegang Menteri Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan.

Katanya, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu masing-masing kekal sebagai Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan seperti yang diumumkan pada 12 Mei lalu.

Beliau menambah Majlis Istiadat Angkat Sumpah bagi 13 menteri Kabinet dijadual berlangsung pada Isnin depan (21 Mei) sekiranya mendapat persetujuan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

"Kami akan cuba mendapatkan 13 menteri mengangkat sumpah pada Isnin jika Istana berkenan.

“Lapan lagi (menteri Kabinat) akan dilantik, dua daripada wakil setiap parti dalam Pakatan. Perlantikan ini tidak mengambil kira kekuatan dalam parti.

“Kita mahu perkecilkan Kabinet kepada 25, tetapi mungkin perlu tambah pada masa depan, bergantung kepada sokongan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), hari ini.

Menjawab pertanyaan wartawan mengenai sebab beliau memegang portfolio Kementerian Pelajaran, Dr Mahathir berkata: “(Ini) kerana ramai orang dalam negara ini yang tidak terdidik. Tambahan lagi, cara kita mengajar sudah ketinggalan zaman. Sekarang ini zaman komputer, kita patut rangka cara-cara baharu untuk mengajar.”

Dr Mahathir dalam pada itu turut mengumumkan Bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shukri Abdull dilantik menjadi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sebelum ini, Shukri mengambil keputusan untuk bersara wajib pada dua tahun lalu ketika sedang menyiasat kes berprofil tinggi termasuk syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


- mD