Tue06192018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 2pm

PRU-14 Contoh Baik Untuk Dunia Islam – Dr Maza

Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang diadakan pada 9 Mei lalu boleh dijadikan sebagai contoh yang baik untuk rujukan dunia Islam.

Katanya, proses demokrasi dalam negara berlaku tanpa sebarang tumpahan darah dan ia boleh dijadikan satu kajian kes untuk pengajian Islam khususnya mengenai penukaran kerajaan.

“Ini menunjukkan betapa rakyat Malaysia itu tinggi tamadun dan sikapnya. Demikian juga membatalkan andaian sesetengah pihak dalam pengajian Islam yang mengharamkan penukaran kerajaan atas alasan akan menumpahkan darah.

“Lebih malang lagi kalangan golongan literalis nas yang membicarakan tentang pengharaman penukaran kerajaan tanpa memahami illah ataupun punca hukum pengharaman itu iaitu penumpahan darah,” demikian katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Mufti Perlis yang terkenal dengan panggilan Dr. Maza itu menjelaskan para sarjana Fekah pada masa dahulu mengharamkan penukaran kerajaan kerana berdasarkan pengalaman yang mereka nukil dan saksi proses itu akan menyebabkan tumpah darah dan kekacauan yang sukar untuk dihentikan.

“Rakyat Malaysia membuktikan bahawa sikap yang baik dan demokratik boleh menjadikan proses tersebut aman dan memberikan manfaat kepada rakyat.

“Kitab-kitab Fekah khususnya dalam masalah siyasah yang ditulis dalam kurun-kurun yang lepas hendaklah dibaca dengan memahami konteksnya yang mungkin berbeza. Maka, bukan semua pandangan sarjana yang lepas sesuai untuk diamalkan di masa kini,” katanya.

Pada PRU-14, Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan Persekutuan selepas menang majoriti mudah 121 kerusi Parlimen menewaskan Barisan Nasional (BN) yang hanya memenangi 79 kerusi Parlimen.

Kemenangan PH dianggap sebagai sejarah dalam dunia politik kerana berjaya membentuk kerajaan baharu selepas 60 tahun Malaysia berada di bawah BN yang dipimpin UMNO.

- mD