Sun06242018

LAST_UPDATESat, 23 Jun 2018 9pm

Lebih 1kg Heroin, Ganja Dirampas Di Langkawi, Lima Ditahan

LANGKAWI -- Dua serbuan yang dilakukan dalam tempoh tiga hari ini menyaksikan polis  Langkawi berjaya merampas lebih satu kilogram dadah jenis heroin dan ganja serta memberkas lima individu yang disyaki pengedar dadah di pulau peranginan ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim hari ini berkata dalam serbuan pertama pada Isnin lepas di sebuah rumah di Padang Kandang, 435 gram heroin dirampas dan dua lelaki  berumur  23 dan 30 tahun diberkas.

“Bagi kes  yang pertama ini, kita juga turut merampas wang tunai RM10,200 dan membuat sitaan terhadap sebuah motosikal yang kita percayai hasil daripada pengedaran (jualan) dadah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat  Polis Langkawi hari ini.

Dalam serbuan kedua pada awal pagi ini di Kuala Teriang, katanya  17.3 gram heroin  dan 588 gram ganja yang dimampatkan dirampas daripada tiga orang suspek pengedar, dua daripada mereka wanita, berumur antara 20 dan 34 tahun.

Beliau berkata dalam serbuan kira-kira pukul 2.30 pagi itu, polis turut menemukan wang tunai RM3,250  dan menurutnya nilai keseluruhan dadah yang dirampas  dalam kedua-dua kes dianggarkan kira-kira RM20,000.

Mohd Iqbal berkata polis percaya dadah itu untuk diedarkan kepada kira-kira 500 penagih di pulau ini.

Katanya kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan dan Seksyen 4 Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

“Kejayaan ini juga adalah hasil daripada program Jihad Perangi Dadah yang telah dilancarkan sejak tiga tahun lepas, risikan polis serta kerjasama orang ramai yang menyalurkan maklumat kepada kita,” katanya.

-- BERNAMA