Tue06192018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 2pm

Ekonomi Malaysia Kekal Kukuh- Ketua Ekonomi IQI

KUALA LUMPUR -- Lembaran imbangan yang kukuh, kestabilan politik dan asas ekonomi makro yang stabil, menunjukkan ekonomi Malaysia pada asas yang kukuh, kata pakar ekonomi.

Ketua Ekonomi QI Global, Shan Saeed, berkata kerajaan baharu perlu menghantar isyarat positif kepada pasaran dan peserta pasaran menerusi pembentukan Majlis Penasihat Kerajaan, membabitkan pembuat keputusan berpengalaman seperti bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. 

"Beliau (Zeti) mempunyai krebiliti dan akan menjelaskan  kepada peserta pasaran  mengenai cara kerajaan berusaha menggerakkan strategi ekonomi.

"Beliau memantau sepenuhnya landskap ekonomi negara dan percaya kepada ekonomi berasaskan pasaran bebas dengan campur  tangan minimum kerajaan," katanya kepada Bernama News Channel di sini hari ini.

Ini, serta kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia mesra perniagaan dan menyambut baik pelaburan langsung asing, membuktikan strategi ekonomi kerajaan Pakatan  Harapan yang jelas kepada pelabur canggih dan penggiat global, sekali gus mewujudkan keyakinan yang lebih  tinggi, katanya.

"Cadangan strategik kerajaan adalah untuk memanfaatkan dasar monetari bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan bukannya melaksanakan dasar fiskal yang meluas yang mungkin menjejaskan lembaran imbangan kerajaan," katanya.

Shan  berkata IQI Global menjangkakan nisbah keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada cukai melebihi 15 peratus dalam tempoh dua suku berbaki tahun ini.

Dengan memperkukuh  permintaan atau permintaan agregat bagi mengekalkan trajektori pertumbuhan, pertumbuhan KDNK perlu bergerak pada tahap 4.9 hingga 5.4 peratus pada 2018.

Mengenai ringgit, beliau berkata ia akan bergerak dalam lingkungan RM3.75 dan RM4.25 kepada dolar AS tahun ini.

-- BERNAMA