Tue06192018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 2pm

Timbalan Presiden MAIPP Kini TKM1 Pulau Pinang

Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

GEORGE TOWN -- "Saya tak jangka akan pegang jawatan setinggi ini,” itu luahan Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman setelah dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) Pulau Pinang hari ini.

Beliau mengangkat sumpah jawatan itu bersama sembilan exco kerajaan negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang di sini, menggantikan Datuk Rashid Hasnon yang bertanding di kerusi Parlimen Batu Pahat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Ahmad Zakiyuddin, 60, juga merupakan Timbalan Presiden Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).

Pada pilihan raya umum lepas, Ahmad Zakiyuddin menewaskan Datuk Roslan Saidin daripada BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pinang Tunggal dengan majoriti 127 undi.

Beliau turut memegang portfolio Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat dalam barisan exco kerajaan negeri.

Ditemui pemberita selepas sidang media Ketua Menteri Chow Kon Yeow di Komtar di sini hari ini, Ahmad Zakiyuddin berkata tumpuan utama beliau adalah untuk menunaikan 68 janji dalam manifesto Pakatan Harapan Pulau Pinang.

Dilahirkan pada 8 Dis 1958 di Kuala Sala, Kedah, Ahmad Zakiyuddin mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kuala Sala sebelum berpindah ke Sekolah Menengah Kota Sarang Semut dan menamatkan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Sains Kedah.

Pada 1976, bapa kepada enam anak (isteri telah meninggal dunia) itu melanjutkan pelajaran ke Salford University di United Kingdom dalam jurusan jurutera awam.

Sebelum aktif dalam politik, beliau bekerja sebagai perunding jurutera dan menyertai PKR pada 1999.

Pertama kali bertanding dalam pilihan raya umum ialah pada 2013 dan tewas kepada Roslan di kerusi DUN Pinang Tunggal dengan majoriti 1,587 undi.

-- BERNAMA