Tue06192018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 2pm

AS Kenakan Sekatan Terhadap Gabenor Bank Pusat Iran, Bank Islam Al-Bilad

Valiollah Seif.Valiollah Seif.

TEHRAN -- Amerika Syarikat (AS) pada Selasa mengenakan sekatan ke atas Gabenor Bank Pusat Iran, Valiollah Seif, dan Bank Islam Al-Bilad yang berpangkalan di Iraq kerana “memindahkan wang berjuta-juta dolar” bagi pihak Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), selepas Washington berusaha membanteras pembiayaan yang didakwa sebagai "aktiviti jahat Iran di Timur Tengah," lapor Agensi Berita Mehr (MNA).

Setiausaha Jabatan Perbendaharaan AS Steven Mnuchin mendakwa Seif secara rahsia telah menyalurkan wang berjuta-juta dolar bagi pihak IRGC menerusi Bank Islam Al-Bilad untuk “memperkaya serta menyokong agenda kekerasan dan radikal Hezbollah.”

Jabatan Perbendaharaan AS turut menyenarai hitam Ali Tarzali, Pembantu Pengarah Jabatan Antarabangsa Bank Pusat Iran serta Pengerusi Bank Islam Al-Bilad, Aras Habib.

Jabatan itu berkata sekatan ke atas Seif dan Tarzali tidak akan menjejaskan transaksi bank pusat secara serta-merta. 

Bagaimanapun, katanya, sekatan yang dikenakan semula di bawah perjanjian nuklear itu akan menjejaskan transaksi tertentu membabitkan dolar AS oleh bank pusat tersebut mulai 7 Ogos tahun ini.

Minggu lepas, dua hari selepas Presiden AS Donald Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran 2015 , Jabatan Perbendaharaan AS telah mengenakan sekatan ke atas enam individu dan tiga syarikat.

-- BERNAMA