Sun06242018

LAST_UPDATESat, 23 Jun 2018 9pm

BN Punyai Rekod Baik Bangunkan Labuan - Bekas MP Labuan

Datuk Yussof MahalDatuk Yussof Mahal

LABUAN – Bekas Anggota Parlimen Labuan Datuk Yussof Mahal berkata Barisan Nasional (BN) mempunyai rekod baik dalam membangunkan pulau bebas cukai itu lebih-lebih lagi selepas dijadikan satu daripada wilayah persekutuan.

Beliau berkata warga Labuan perlu terus memberi mandat kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU) ini bagi membolehkan mereka memperoleh manfaat berterusan.

Katanya beliau menyokong Datuk Rozman Isli dipilih sebagai calon BN bagi mempertahankan kerusi Parlimen Labuan demi kesinambungan pembangunan dan perpaduan pelbagai kaum di pulau itu.

“Saya yakin dengan perhatian dan pembangunan diberikan kerajaan persekutuan kepada Labuan (selama ini) akan membantu kemenangan besar BN kali ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Yussof yang merupakan Anggota Parlimen Labuan dari 2008 sehingga 2013 berkata Labuan tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan persekutuan pimpinan BN, oleh yang demikian adalah logik untuk terus menyokong BN pada PRU14 ini.

Katanya Labuan kini mempunyai Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dan Kolej Matrikulasi Labuan (KML) selain sebagai pusat kewangan antarabangsa dan minyak dan gas manakala bagi projek jambatan dari Labuan ke Sabah, kajian pelaksanaan sedang dilakukan.

“Tidak dinafikan Labuan mengalami sedikit kelembapan ekonomi berikutan kejatuhan harga minyak dunia, dan ini adalah di luar bidang kuasa kerajaan persekutuan (kerana harga minyak ditentukan pasaran dunia) , dan kita tahu keadaan ini hanya sementara dan kini difahamkan telah ada perubahan dari segi pertambahan aktiviti sektor minyak dan gas di pulau ini,” katanya.

Yussof berharap pengundi di Labuan akan memilih calon BN pada hari pengundian 9 Mei ini.

-- BERNAMA