Sun06242018

LAST_UPDATESat, 23 Jun 2018 9pm

Lelaki Maut Dikelar Selepas Minta Hutang

LAHAD DATU: Gara-gara mahu meminta hutang, seorang lelaki maut selepas dipercayai dikelar di Taman Warisan KM7 di sini hari ini.

Mangsa, Fazrin Ibrahim, 30, yang memandu kenderaan Perodua Axia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diserang dengan menggunakan senjata tajam jenis barong kira-kira pukul 1 petang.

Turut menjadi mangsa dalam kejadian itu ialah seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang cedera pada jari kelingking sebelah kiri dan jari telunjuk pada tangan kanan.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Hamzah Ahmad berkata, suspek lelaki terbabit dikatakan kenalan kepada mangsa.

“Suspek disyaki menyerang mangsa dari arah tempat duduk belakang kenderaan tersebut.

“Mangsa dikelar pada bahagian leher dengan senjata tajam sehingga menyebabkannya tidak bernyawa,” katanya.

Tambah Hamzah, selepas insiden itu suspek melarikan diri dan meninggalkan kedua-dua mangsa di dalam kenderaan.

“Petunjuk awal yang diperoleh daripada saksi suspek memakai baju panas berwarna kelabu,” jelasnya.

Mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Lahad Datu dekat sini untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

- UTUSAN ONLINE