Sun06242018

LAST_UPDATESat, 23 Jun 2018 9pm

Tsunami Melayu Akan Hanyutkan DAP

KUALA LUMPUR: Percaturan DAP untuk mencetuskan tsunami pengundi Melayu kepada pihak pembangkang bakal memakan diri sendiri kerana orang Melayu tidak mungkin mengundi parti itu pada pilihan raya akan datang.

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, sebaliknya orang Melayu akan mengundi Pas dan menjadikan parti tersebut lebih kukuh di politik arus perdana.

“Orang Melayu selama ini telah meletakkan keyakinan kepada UMNO kerana telah terbukti menjadi payung dalam membela kepentingan orang Melayu.

“Bagaimanapun jika mereka mahu menukar parti kerana jemu dengan pemimpin tertentu atau kecewa dengan pemimpin tempatan, pastinya mereka akan memilih Pas,” katanya semasa wawancara Sembang Utusan Online bertajuk `Politik Perkauman: Apa Cina bakal dapat?’

DAP, kata beliau, akan menjadi pilihan terakhir orang Melayu kerana sejak sekian lama parti tersebut telah dilabel sebagai parti anti-Melayu.

Pas pula, jelas beliau, bertanding 160 kerusi pada pilihan raya kali ini dan jika mereka menang sebanyak 50 kerusi sahaja ia akan memperkasakan parti itu serta berjaya meluaskan kuasanya keluar dari Pantai Timur semata-mata.

DAP juga, katanya, tidak akan dapat menghalang UMNO daripada bergabung dengan Pas dan membentuk kerajaan Melayu.

Situasi itu, jelas beliau, mungkin menyebabkan suara kaum Cina akan berkurang kepada 2 peratus atau terus lenyap di dalam kerajaan yang sekali gus mempengaruhi dasar-dasar yang digubal.

Lian Ker bagaimanapun menjangkakan tsunami Melayu tidak akan berlaku kerana terdapat empat parti berasaskan kaum Melayu.

“Untuk berlaku tsunami perlu ada tumpuan kuasa melalui satu saluran, tapi sokongan Melayu telah pecah kepada empat, jika berlaku juga mungkin 10 hingga 20 peratus pengundi beralih sokongan, tetap tidak kepada DAP, tetapi kepada Pas,” katanya.

Sehubungan itu beliau mengingatkan pengundi Cina supaya tidak terlalu ghairah untuk menukarkan kerajaan sehingga akhirnya menjejaskan masa hadapan sendiri.

- Utusan Online