Sat04212018

LAST_UPDATESat, 21 Apr 2018 9pm

Gerakan Peroleh Momentum Hadapi PRU14

Datuk Seri Mah Siew KeongDatuk Seri Mah Siew Keong

PUTRAJAYA – Selepas kalah dengan teruk dalam dua pilihan raya umum sebelum ini, parti Gerakan semakin memperoleh momentum untuk bangkit semula dan melaksanakan peranan lebih penting sebagai antara parti komponen yang utama dalam Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Semua tanda memberi petunjuk positif bahawa Gerakan kini berada dalam kedudukan lebih baik untuk menghadapi pilihan raya umum itu yang disifatkan sebagai ibu segala pilihan raya.

Parti itu mendapat kembali sokongan yang hilang sebelum ini dan sebagai permulaan, presidennya Datuk Seri Mah Siew Keong berjaya memenangi kerusi Parlimen Teluk Intan pada pilihan raya kecil 2014 setelah gagal mempertahankan kerusi itu selama dua penggal berturut-turut pada pilihan raya umum 2008 dan 2013.

Mah mula memenangi kerusi itu pada 1999 dan mengekalkannya dalam pilihan raya umum 2004.

Momentum itu tidak terhenti di situ sahaja.

Kini terdapat peralihan sokongan terhadap Gerakan berdasarkan maklum balas daripada akar umbi, kata Mah.

“Parti ini terus berkhidmat kepada rakyat… membantu rakyat… meskipun mengalami kekalahan besar dalam dua pilihan raya umum sebelum ini dan ia menjadi penyumbang kepada sokongan yang lebih banyak kepada parti,” katanya.

Gerakan hanya mampu menang satu kerusi parlimen iaitu Simpang Renggam di Johor serta dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah pada pilihan raya umum 2013 dan sekadar menang dua kerusi parlimen serta empat kerusi DUN pada pilihan raya umum 2008.

“Saya meninjau ke beberapa negeri, termasuk Pulau Pinang. Saya dapat merasakan ada peralihan mood (kembali kepada Barisan Nasional).

“Berdasarkan apa yang saya baca, pada 2013, sokongan kaum Cina kepada BN hanya kurang daripada 15 peratus. Penilaian saya (bagi PRU14) semestinyalah lebih baik daripada itu. Sebab itulah kami berkeyakinan,” katanya kepada Bernama dan New Straits Times di pejabat beliau di sini.

Namun begitu, Mah memberi amaran parti itu tidak boleh berada dalam zon selesa berikutan isyarat positif yang dihantar pengundi oleh kerana parti berhadapan dengan cabaran getir persepsi politik dan perang psikologi yang dilancarkan DAP.

Beliau berkata DAP yang mula berkuasa di Pulau Pinang sejak 2008, semakin besar kepala, terpengaruh oleh keyakinan bahawa mereka akan dapat mengulangi kejayaan mereka kali ini.

“Pembangkang ini bongkak dan angkuh, mereka fikir mereka boleh sapu bersih,” kata Mah, yang optimistik Gerakan akan dapat menguasai Pulau Pinang dalam pilihan raya umum kali ini.

Beliau turut menyelar kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP kerana gagal memenuhi harapan rakyat apabila mereka tidak melaksanakan janji yang ditabur sebelum ini.

Katanya sungguhpun Gerakan gagal memenangi sebarang kerusi di Pulau Pinang dalam PRU13, kekalahan itu tidak memusnahkan Gerakan Pulau Pinang atau menghalang anggota parti itu daripada memberi khidmat dan sokongan kepada rakyat di negeri itu yang sebelum ini dipimpin Gerakan sebelum kekalahan parti itu pada 2008.

“Bagi saya, kad laporan sangat penting, sama ada ia rekod kerajaan atau individu. Ketika pilihan raya berlangsung, tempoh berkempen hanyalah dua minggu, jadi kita ada ramai ‘calon terbang’ yang akan ‘mendarat’ di sana sini dan menabur pelbagai janji,” katanya.

Beliau berkata DAP bukannya berkhidmat kepada rakyat dan negeri, sebaliknya mereka menyemai kebencian di kalangan rakyat terhadap pemimpin BN, dan kata Mah, beliau turut menjadi mangsa jenayah kebencian DAP.

“Saya belum pernah melihat begitu banyak politik kebencian terhadap saya sejak hari pertama saya menjadi presiden Gerakan,” katanya, dan menambah, percubaan pembangkang untuk ‘menghapuskan’ beliau di Teluk Intan dalam PRU14 tidak akan menjadi penamat kepada parti ini yang lantang dalam perjuangannya.

Mah berkata: "Gerakan ada begitu ramai pemimpin berkebolehan. Kalaupun saya dihapuskan di sana masih ramai pemimpin berkebolehan yang boleh mengambil alih. Jadi, lupakan saja cadangan untuk menghapuskan Gerakan".

-- BERNAMA