Sat04212018

LAST_UPDATESat, 21 Apr 2018 9pm

Tok Aki Segar Dalam Ingatan

KUANTAN - Penyampaian dengan menggunakan dialek Pahang dari seluruh daerah selain santai dan penuh dengan teguran, menjadi tarikan rancangan Apa Khabar Orang Kampung di stesen radio Pahang FM.

Keunikan itulah menyebabkan rancangan ini sentiasa dinanti-nantikan pendengar tak kira peringkat umur dan latar belakang di negeri ini.

Ke udara sejak tahun 1990 lagi, karakter Aki yang menjadi penyampai radio bagi rancangan tersebut terus melekat dan mempengaruhi pendengar yang membesar dengan rancangan tersebut.

Namun, mungkin tiada ramai mengenali di sebalik pemilik suara tersebut adalah Zainordin Mohamad, 63, yang kini telah bersara sejak 2 Februari 2015.

Anak jati Pahang dari Kampung Dong, Raub itu yang memulakan kerjaya penyiaran bersama RTM sejak 34 tahun lalu masih mempunyai pengaruh tersendiri bagi penduduk di negeri ini.

Ketika ditemui Sinar Harian, Zainordin mengakui ia bukan satu tugas yang mudah untuk memastikan karakter Aki itu melekat di hati pendengar.

“Untuk karakter ini, ia dibawakan dengan watak seorang Aki yang berusia 85 tahun dan bercakap dengan menggunakan dialek Pahang, sedangkan ketika itu saya tidak setua seperti digambarkan.

“Sebenarnya untuk karakter ini, saya menguasai 18 dialek Pahang yang ada dengan kajian mendalam hingga beberapa tahun hasil tinjauan tingkah laku penduduk tempatan.

“Boleh katakan seluruh kampung dan daerah di negeri ini saya pergi untuk memastikan karakter ini berjaya supaya kandungan program yang berbentuk teguran, nasihat secara santai sampai ke hati pendengar,” katanya.

Nyata rancangan itu membawa impak kepada Zainordin sehingga berjaya bukan saja pendengar biasa, malah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

“Walaupun rancangan ini telah berakhir pada 2006 namun ia mencatat sejarah rancangan paling lama bersiaran ke udara di stesen ini.

“Biarpun sudah berakhir, saya tidak rasa terkilan sebaliknya berpuas hati kerana rancangan ini telah banyak memberikan pengaruh positif kepada pendengar,” katanya.

Selamatkan pendengar rancangan

Zainordin berkata, antara insiden dan peristiwa yang memberikan kesan kepadanya, apabila seorang wanita yang juga pendengar rancangan itu mengugut membunuh diri selepas berdepan masalah dengan suaminya.

“Namun selepas mendengar nasihat daripada saya, ia berubah dan begitu juga kisah seorang pemuda yang putus cinta turut kembali bersemangat selepas mendengar nasihat diberikan.

“Ini antara peristiwa yang tidak mungkin dilupakan sehingga ke hari ini dan kerjaya ini juga membawa saya mengenali pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Tentunya tiada siapa menjangka Zainordin sebelum itu pernah bergelar seorang pendidik sebelum terjun ke bidang penyiaran.

“Saya pernah menjadi guru sempatlah selama setahun mengajar subjek Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak pada 1978.

“Memang guru antara kerjaya impian dan masa sekolah dulu, saya berhajat nak jadi guru dan penyampai radio .Syukur dua-duanya tercapai” katanya

Menjadikan penyampai radio Karim Mohamad sebagai idolanya, Zainordin turut aktif dalam pelbagai rancangan lain seperti drama televisyen dan radio, menerbitkan rancangan berbalas pantun dan program berbentuk keagamaan.

Mengakhiri kerjaya dengan jawatan terakhir ketua penerbitan, beliau juga sanggup menolak peluang untuk kenaikan pangkat dan memilih hingga bersara untuk berkhidmat di negeri ini.

“Hanya awal kerjaya selama tiga tahun saya bertugas di Angkasapuri dan selebihnya di negeri ini. Kini selepas bersara, saya aktif menjadi perantara bagi program keagamaan untuk komuniti menggunakan pengalaman yang ada.

“Saya juga gembira kerana ketika berkhidmat dapat mengaturkan program Salam Muhibbah membabitkan negara jiran Indonesia, Singapura dan Brunei dengan kerjasama baik kerajaan negeri,” katanya.

Pernah meraih pelbagai anugerah; antaranya Khidmat Cemerlang pada 1995, 2001 dan DJ Terbaik pada 1996, Zainordin mengharapkan penyampai radio baru masa kini mengambil inisiatif mencari limu dan maklumat berguna buat pendengar.

“Memang berbeza dengan dulu dan dengan kepesatan teknologi segalanya berubah. Bagi saya untuk menceburkan diri dalam bidang ini perlukan minat dan bakat boleh datang kemudian supaya penyampaian kita sampai ke hati pendengar.

“Selain itu perlukan kesabaran tinggi dan kenali diri kita. Jangan sombong dengan kelebihan yang ada dan perlu ada sifat rendah diri,” pesannya mengakhiri perbualan.

-Sinar Harian