Sat04212018

LAST_UPDATESat, 21 Apr 2018 9pm

Pas Tak Pernah Umum Kabinet Bayangan

KOTA BHARU - Walaupun mahu memerintah negara, Pas tidak akan memberi gambaran Kabinet bayangan mereka, kata Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Menurutnya, Pas tidak pernah berbuat demikian dan mereka hanya mengumumkan apa yang terkandung dalam buku hijau serta manifesto yang telah dirancang terbaik untuk rakyat.

Mohd Amar berkata, Pas juga mempunyai sasaran sendiri untuk menjadi ‘king maker’ dalam PRU nanti walaupun memaklumkan Ikatan tidak akan bertanding di Kelantan.

“Semua pembahagian kerusi secara umumnya selesai. Dan mereka (Ikatan) hanya minta beberapa kerusi sahaja. Sebab fokus utama mereka ialah untuk menangkan kita.

“Berkaitan dengan ‘king maker’, kalau kita faham apa yang Tok Guru Abdul Hadi katakan, Pas ada sasaran sendiri iaitu maksimum dan minimum.

“Namun kita tidak akan umum Kabinet bayangan sebab kita tidak pernah berbuat demikian,” katanya kepada media di sini.

Beliau hadir menyampaikan ceramah di Himpunan Bangkit Pertahan Kelantan di Padang Perdana, di sini, malam tadi.

-Sinar Harian