Sat04212018

LAST_UPDATESat, 21 Apr 2018 9pm

Penunggang Motosikal Maut Langgar Belakang Kereta

KLUANG - Seorang remaja maut apabila motosikal ditunggangi melanggar belakang sebuah kenderaan di KM 55.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Simpang Renggam, dekat sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, kejadian kira-kira jam 10.50 pagi itu menyebabkan Mohamad Hairil Md Razali, 19, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.

Menurutnya, kemalangan itu melibatkan dua motosikal dan sebuah kenderaan.

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan ini berlaku semasa Mohamad Hairil menunggang motosikal dari arah selatan menghala ke utara. Sampai di tempat kejadian, motosikal ditunggangi mangsa melanggar sebuah kereta yang berada di lorong kecemasan.

"Kereta tersebut berhenti di bahu jalan sebelah kiri lorong kecemasan yang telah dipasang kon keselamatan. Kemudian, terdapat sebuah lagi motosikal yang berada di belakang Mohamad Hairil (di laluan yang sama) tidak sempat mengelak lalu terlanggar motosikal mangsa," katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad berkata, akibat dari pelanggaran ini, Mohamad Hairil meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penunggang motosikal cedera parah manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom Kluang untuk dibedah siasat.

-Sinar Harian