Fri06222018

LAST_UPDATEFri, 22 Jun 2018 9am

LTdL: Azam Androni Giocattoli-Sidermec Untuk Dapat Semula Rentak Kemenangan

Foto: Berita HarianFoto: Berita HarianKUALA LUMPUR: Pasukan profesional benua, Androni Giocattoli-Sidermec berazam untuk memberi saingan sengit pada edisi ke-23 perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) bermula Ahad ini selepas mencatatkan keputusan membanggakan pada perlumbaan pramusim di Venezuela baru-baru ini.

Diketuai Gianni Savio, pelumba berpengalaman dan tidak asing dalam siri LTdL, pasukan Itali itu merupakan pasukan pertama tiba di Langkawi hari ini.

Pasukan tersebut melakarkan keputusan memberangsangkan pada sesi pramusim di Vuelta a Tachira dengan Androni Giocattoli memenangi empat daripada 10 peringkat perlumbaan.

“Kami turut membawa Matteo Malucelli, yang memenangi dua peringkat pecutan dan juga Kevin Rivera Serrano pemenang acara pendakian di Venezuela,”kata Savio dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh penganjur, Ciclista Sports Sdn Bhd., di sini hari ini.

Bekas pelumba pasukan Selle-Italia pada edisi 1999 itu berkata beliau percaya Androni akan memberi cabaran sengit kepada pelumba Andrea Guardini di laluan landai dan Mekksen Debesay dalam acara pendakian ke Cameron Highlands.

"Kehadiran beberap pasukan handalan akan menjadikan perlumbaan lapan peringkat kali ini lebih kompetitif dan sengit serta sukar membuat ramalan” katanya.

Pelumba lain dalam pasukan itu terdiri daripada Manuel Beletti, Alessandro Bisolti, Matia Fraporti dan Luca Chirico.

Sejak menyertai pada 1999, pasukan itu melahirkan lima juara jersi kuning menerusi Hernan Dario Munoz pada 2002; Fredy Gonzalez (2004); Ruslan Ivanov (2008); Jose Serpa (2009) dan kali terakhir Jonathan Monsalve pada 2011.

Sejak itu, pasukan itu kurang menyerlah dengan kali terakhir memenangi satu peringkat perlumbaan menerusi Kenny Van Humme pada edisi 2014.

"Kami sentiasa meletakkan LTdL di persada yang tinggi dan setiap kali mengambil bahagian, kami membawa beberapa pelumba handalan kami dan kali ini tiada bezanya. Saya harap tahun ini, pasukan ini akan kembali semula mendapat rentak kemenangan,”kata Savio.

Sejumlah 22 pasukan iaitu pasukan profesional dunia, World Tour dan pasukan kebangsaan telah mengesahkan penyertaan pada perlumbaan sejauh 1,341km merentasi lapan negeri di Semenanjung.

-BERNAMA