Tue06192018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 4pm

Terima Kasih Abang Polis!

SERDANG: Tiada kata-kata lain selain penghargaan dan terima kasih seorang wanita kepada dua anggota polis yang membantu bapanya selepas terbabit dalam kemalangan di Serdang, di sini semalam.

Dalam ucapan penghargaan dinyatakan menerusi akaun Facebook miliknya, wanita dikenali sebagai Charlene Chea mendakwa bapanya menunggang motosikal sendirian dari Bukit Serdang ke Taman Universiti.

Dalam perjalanan itu cuaca hujan lebat, bapanya dikatakan terjatuh dari motosikal selepas tergelincir di atas jalan raya yang licin.

Katanya, ketika kejadian kira-kira jam 5 petang tersebut, tiada seorang pun pejalan kaki yang menghulurkan bantuan kepada bapanya.

Lelaki itu juga dikatakan tidak mampu bangun disebabkan motosikal menindih tubuh badannya.

"Ketika bapa berusaha melepaskan diri daripada motosikalnya, tiba-tiba sebuah kereta polis datang memberi bantuan. Seorang anggota polis tolong mengawal keadaan di sekeliling manakala seorang lagi mengalihkan motosikal dan membantu bapa untuk bangun," katanya dalam status berbahasa Cina yang dimuat naik di Facebooknya, hari ini.

Katanya lagi, setelah mendapati bapanya mengalami kecederaan yang agak serius di bahagian kaki dan tangan, anggota polis itu turut menghantar bapanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan manakala seorang lagi menghantar motosikal ke rumah adik-beradiknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, beliau berbangga kedua-dua anggotanya perondanya, Lans Koperal Justine Anak Taman dan Konstabel Muhammad Redda Mohd Noor bertindak segera membantu mangsa.

"Insiden itu menunjukkan pihak polis akan sentiasa membantu mereka yang dalam kesusahan sesuai dengan slogan 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada'," katanya kepada Sinar Harian.

-Sinar Harian