Fri06222018

LAST_UPDATEFri, 22 Jun 2018 9am

Bas Terbalik Pemandu Mengantuk

PETALING: Seorang lelaki hampir maut apabila bas ekspres yang dipandunya terbabas dan terbalik di Kilometer 12.4 Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) di sini tengah hari hari ini.

Semasa kejadian kira-kira pukul 12.15 tengahari itu, mangsa memandu bas ekspres dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) ke Petaling Jaya dengan membawa dua penumpang bersamanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Choo Lily berkata, pemandu tersebut hilang kawalan kerana mengantuk lalu melanggar penghadang yang berada di sebelah kiri jalan serta terbalik.

“Pemandu bas yang berusia 36 tahun itu mengalami kecederaan ringan pada bahagian pinggangnya dan dua penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kedua-dua penumpang tersebut telah menaiki teksi selepas kemalangan tersebut tanpa pengetahuan pemandu bas dan tiada sebarang maklumat butiran diri mereka direkodkan oleh syarikat bas itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lily menambah, bas tersebut mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan kirinya.

“Siasatan mendapati pemandu bas tidak mempunyai sebarang rekod saman lampau.

“Sehingga masa kini, dua penumpang tersebut tidak membuat sebarang laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

-K! ONLINE