Tue06192018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 4pm

BN Perak Tidak Tolak Calonnya Bertanding Dua Kawasan

Datuk Seri Dr Zambry Abd KadirDatuk Seri Dr Zambry Abd Kadir

IPOH -- Barisan Nasional (BN) Perak tidak menolak kemungkinan calon berpotensi yang bakal diketengahkan parti akan bertanding untuk dua kerusi – Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen - pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata soal sama ada seseorang itu bertanding satu atau dua kawasan, bukanlah sesuatu yang asing dalam konteks BN, apatah lagi dalam konteks pembangkang.

“Ini bukanlah suatu kelainan ataupun seolah-olah menggambarkan kita tidak ada calon dan sebagainya. Kalau alasan itu digunakan bermakna pembangkang pun sama jugalah.

“Itu juga bukanlah menjadi perkiraan tetapi ia diambil berdasarkan kemahuan pucuk pimpinan yang lebih bersifat inginkan perkhidmatan calon-calon yang berkenaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sebuah akhbar berbahasa Inggeris sebelum ini melaporkan Zambry yang juga ADUN Pangkor mungkin bertanding di Parlimen Lumut.

Parlimen Lumut secara tradisinya ditandingi oleh MCA, sebelum tewas kepada calon PKR pada PRU13. Dalam PRU13, calon PKR Mohamad Imran Abd Hamid mengalahkan calon BN, Tan Sri Kong Cho Ha yang merupakan Anggota Parlimen Lumut sejak 1999 hingga 2013.

Menteri Besar Perak itu yang dilihat enggan mengulas lanjut berhubung laporan itu berkata, dalam konteks negeri ini, penilaian-penilaian tersebut dibuat sama ada keperluan bertanding di dua kawasan perlu diberikan kepada wakil-wakil rakyat di negeri ini atau tidak.

“Kita tidaklah mengatakan kita menutup semua pintu sepertimana juga dari segi peluang-peluang bagi setiap calon berpotensi sama ada dulu dia bertanding di peringkat DUN namun sekarang di peringkat Parlimen atau sebaliknya atau kedua-dua.

“Itu merupakan satu proses yang bukanlah satu kejutan memandangkan amalan ini telah berlaku di mana-mana,” katanya.

Dalam pada itu, Zambry yang juga Ketua UMNO Bahagian Lumut berkata senarai calon telah diserahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi dan hanya menanti saat-saat akhir pengumuman pembubaran Parlimen.

-- BERNAMA