Tue06192018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 4pm

Undang-Undang Kekang Berita Palsu Perlu Digubal Segera

KUALA LUMPUR -- Seorang penyokong kerajaan hari ini mencadangkan agar penggubalan undang-undang bagi mengekang penyebaran berita palsu di media sosial disegerakan bagi memastikan pembangkang tidak terus menggunakan taktik itu sebagai ‘senjata’ menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) berkata penggubalan undang-undang itu juga penting bagi memastikan pembangkang tidak terus meracuni pemikiran rakyat dengan penyebaran berita palsu.

"Jangan kita lupa pada PRU13 pembangkang menuduh Barisan Nasional (BN) membawa masuk ribuan warga Bangladesh untuk mengundi, tetapi tak ada seorang pun warga Bangladesh yang ditampilkan bagi menyokong perkara itu.

Saya yakin pembangkang akan terus menggunakan taktik kotor sebegini," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Ikmal Hisham berkata sementara menunggu undang-undang berkenaan digubal, kerajaan juga dicadangkan untuk menubuhkan satu pasukan pemantauan khas di bawah Jabatan Peguam Negara.

"Sudah tiba masanya satu pasukan pemantauan khas ditubuhkan dengan menggabungkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membolehkan apa juga tindakan bagi memerangi berita palsu ini dapat dilaksanakan secara berkesan dan jitu, bukannya berasingan," katanya.

-- BERNAMA